Ahad, 15 Julai 2012

Pesta Lagu Jalanan Tonjolkan Bakat Artis Hak Asasi, Demokrasi

Gambar oleh Remmy Ariffin




PETALING JAYA : Pesta Lagu Jalanan 2012 yang berlangsung di Taman Rusa, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, disifatkan sebagai platform terbaik bagi golongan muda khususnya untuk menonjolkan bakat nyanyian dan penciptaan lagu.

Pesta yang bermula seawal jam 12 tengah hari hingga 11 malam itu merupakan anjuran tiga Pusat Khidmat DUN iaitu Bukit Gasing, Kinrara dan Kampung Tunku bersama portal web Roketkini.com.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, pengajuran program itu bertujuan merangsang belia untuk menggubal lagu yang membawa mesej demokrasi, hak asasi manusia, perpaduan, anti-rasuah dan tadbir urus yang baik.

“Idea pengajuran program ini adalah kerana selalunya perhimpunan yang disertai orang ramai, contohnya BERSIH  hanya melaungkan slogan sahaja, tanpa ada lagu semangat.

“Oleh itu, kita berpandangan adalah penting untuk mempunyai lagu buatan sendiri yang boleh digunakan setiap kali ada pergerakan, perhimpunan hak asasi manusia dan sebagainya,” katanya yang juga Adun Kinrara.



Menurut Teresa, acara kemuncak program itu adalah konsert finale lagu jalanan yang memperlihatkan 12 lagu dipilih untuk dipertandingkan di peringkat akhir malam nanti.

Beliau berkata, persembahan finalis akan diadili oleh barisan panel juri, antaranya Hishamuddin Rais, Nik Jidan, Anthony Loke, Ross Ariffin dan Hasmi Hashim.

“Jika ia mendapat sambutan baik, kita akan jadikannya sebagai program tahunanan pada masa akan datang.

“Saya ingin berterima kasih kepada NGO dan aktivis kerana bersama-sama menjayakan program ini. Kita harap orang muda dapat berseronok,” jelasnya.



Selain persembahan, pesta itu turut mengadakan karnival yang menempatkan booth jualan para NGO seperti Pusat KOMAS, SUARAM, Bersih 2.0, Radio Bangsar Utama, Majlis Peguam, Petpositive, Kelab Kartunis Independen, Pusat Kucing Terbiar, Change Your World, Buku Jalanan, Frinjan, dan organisasi pelarian dari Sri Lanka, Somalia dan Myanmar.

Selain daripada gerai, terdapat juga “dinding graffiti”, Sudut Pidato (Speaker’s Corner) serta gerai jualan buku, pakaian dan hasil tangan kreatif anak-anak muda.

Tiada ulasan: