Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Pemuda DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dan biadap oleh ahli-ahli Perkasa yang cuba mengasari dan menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di pasar Teluk Bahang, Pulau Pinang, kelmarin.
Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata, tindakan ganas oleh ahli-ahli kumpulan pelampau kaum itu semakin keterlaluan berikutan kegagalan polis untuk mengambil tindakan tegas ke atas tindak-tanduk mereka.
“Ini menimbulkan persepsi seolah-olah Perkasa mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tindakan ganas untuk menyerang seorang Ketua Menteri yang sedang membuat lawatan rasmi bersama rakyat adalah sesuatu yang keterlaluan dan tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak polis menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional.
Tambah beliau, keadaan seumpama itu tidak pernah berlaku terhadap Perdana Menteri, Menteri Besar atau pun Ketua Menteri dari Barisan Nasional kerana mereka sentiasa diberikan perlindungan yang terbaik oleh pihak polis semasa mereka menjalankan tugas di khayalak ramai.
“Perlindungan dari pihak polis untuk pemimpin-pemimpin kerajaan memanglah sesuatu yang wajar. Namun Pemuda DAP mempersoalkan mengapakah layanan yang sama tidak diberikan kepada pemimpin kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat, khasnya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng?” soal beliau.
Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah mempersoalkan sama ada keganasan Perkasa mempunyai kaitan dengan saingan sengit di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang yang semakin tidak memihak kepada BN.
“Ia menimbulkan persoalan sama ada Perkasa menggunakan kekerasan dan keganasan untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat kita dan seterusnya menggagalkan tuntutan perubahan kerajaan oleh rakyat melalui sistem pilihan raya,” ujarnya.
Justeru, katanya, Ketua Polis Negara perlu segera mengarahkan penangkapan anggota Perkasa yang cuba menyerang Guan Eng untuk siasatan lanjut.
Beliau juga mahu Ketua Polis Negara memberi jaminan terbuka kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan semua pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat bahawa keselamatan peribadi mereka, terutamanya semasa menjalankan tugas rasmi, akan sentiasa diberikan perlindungan yang terbaik dari pihak polis. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan