Jumaat, 6 Julai 2012

Pemandu bas kedua terputus dua

KL TODAY

 


KAMPAR: Seorang pemandu bas ekspres maut dalam keadaan ngeri kerana selain putus kaki, badannya juga putus dua sehingga ada cebisan daging melekat pada dinding bas akibat digilis lori kontena ketika memeriksa basnya yang merempuh belakang treler rosak di Kilometer 303.5, Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Gua Tempurung, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mayat pemandu bas kedua Seri Maju Sarata Ekspres, Azizan Hamid Osman, 51, ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan satu kakinya putus dan tercampak sejauh beberapa meter daripada bas.

Sebelum kejadian, bas dipandu rakan Azizan yang membawa sembilan penumpang, merempuh belakang lori kontena rosak yang berada di lorong kiri lebuh raya. Lori berkenaan membawa sarung tangan getah dalam perjalanan ke Pelabuhan Barat, Klang, Selangor.Gambar sekadar hiasan.

Pelanggaran itu menyebabkan Azizan turun daripada bas melalui pintu kecemasan untuk meninjau kerosakan, tetapi ketika berdiri di belakang bas, tiba-tiba dia dilanggar dan digilis sebuah lori kontena yang cuba mengelak daripada merempuh bas berkenaan dengan memasuki lorong kecemasan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa dipercayai mahu mendapatkan bantuan selepas bas yang membawa penumpang dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur merempuh belakang treler rosak itu.

“Mangsa mahu memeriksa keadaan bas selain mendapatkan bantuan selepas pemandu pertama bas ekspres berusia 36 tahun, tersepit kaki dan Azizan keluar melalui pintu kecemasan,” katanya. Menurut Aziz, pemandu pertama bas berkenaan hanya cedera ringan di dahi dan kaki.

“Tiga penumpang bas berusia antara 22 hingga 46 tahun cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kampar, di sini. “Pemandu lori kontena dikenali sebagai Jegathish, 57, cedera kaki kanan dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh,” katanya.

Sementara itu, anggota polis trafik turut membantu mengutip cebisan daging dan anggota tubuh mangsa sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua lorong lebuh raya arah selatan ditutup kepada lalu lintas hampir lima jam berikutan muatan kontena yang terbalik dan menghalang laluan.

Polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jegathish yang berasal dari Johor berkata, dia tidak sempat mengelak daripada merempuh bas di depannya, “Sebaik merempuh bas, saya tidak tahu apa yang berlaku kerana hanya sedar apabila sudah berada di hospital,” katanya.

Sementara itu, usaha wartawan mendapatkan ulasan waris keluarga Azizan di Hospital Kampar gagal berikutan ahli keluarga terlalu sedih dengan kejadian.

Tiada ulasan: