Oleh SELENA TAY
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah pun muncul dalam pesanan iklan di kaca televisyen dimana beliau telah berkata, "Saya pilih mengundi". Ini adalah satu petunjuk bahawa tarikh Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) sudah pun semakin dekat.
Kebarangkalian tinggi pilihanraya akan diadakan pada bulan September sebab BN sudah pun cetuskan momentum dan tidak mungkin momentum ini dapat dikekalkan sampai tahun depan.
Oleh itu Perdana Menteri Najib Tun Razak patut mengikut nasihat dari Tun Dr. Mahathir dalam pesanan iklan tersebut dan mengadakan pilihanraya sebelum pertengahan bulan September supaya halatuju negara dapat menjadi lebih jelas dan teratur.
Sebelum memangkah kertas undi, rakyat juga harus ingat siapakah pemimpin yang pertama di Malaysia yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa tarikh pilihanraya umum adalah satu teka-teki.
Namun demikian, senarai daftar pemilih harus dibersihkan dahulu sebelum pilihanraya umum diadakan. Justeru itu, ada 3 soalan yang harus ditujukan kepada PM Najib pada bulan ini:
1. Mengapakah daftar pemilih masih mengandungi berbagai kepincangan dalam datanya?
2. Bilakah beliau akan mengambil langkah prihatin yang akan menguntungkan rakyat perihal isu air yang sedang hangat dipertikaikan sekarang?
3. Bilakah beliau boleh berjanji kepada rakyat bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST - Goods and Services Tax) tidak akan dilaksanakan sehingga majoriti rakyat mendapat gaji sebanyak RM4,000 sebulan?
Soalan perihal tarikh pembubaran Parlimen sebenarnya telah dijawab oleh beliau apabila beliau berkata bahawa beliau berhasrat untuk menamatkan tempoh penggalnya yang sebenarnya hanya akan berakhir pada 28hb April tahun depan. Tetapi nampaknya nasihat Tun Dr. Mahathir akan dipertimbangkan dan oleh itu PRU13 akan berlangsung tahun ini.
Walaubagaimanapun, adalah baik jika PM Najib dapat menjawab ketiga-tiga soalan diatas dengan sempurna sebelum rakyat merayakan Hari Kebangsaan Yang Ke-55 bulan depan untuk membuktikan kebolehan, ketokohan dan kewibawaan beliau sebagai seorang pemimpin.
Pada zaman iklim sedunia yang mencabar pada masa kini, negara kita memerlukan seorang pemimpin yang adil, telus, berprihatin, berwawasan dan yang penting sekali berjiwa rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan