Khamis, 19 Julai 2012

Mogok Lapar



Surat Wong Sui Sun yang ditulis sebelum membunuh diri bermula dengan sebegini, "Saban hari saya diganggu dengan penyakit telinga, sehingga tidur tak lena, duduk tak selesa, apatah lagi membaca buku atau akhbar.  Seringkali saya berbaring di atas katil pada tengah hari, tetap gagal melelapkan mata selepas dua jam.  Saya sekadar mampu memejamkan mata.  Begitu juga pada sebelah malam.  Ada kalanya saya gagal tidur selepas terkejut pada tengah malam, hanya mampu memejamkan mata sehingga waktu siang.  Cuba jawab, sejauh manakah jiwa seseorang boleh diseksa sedemikian untuk jangka panjang?"

Pada awal pagi 29 Disember 1973, tahanan politik di Kamunting, Wong Sui Sun telah menamatkan nyawa dirinya yang berusia 38 tahun dengan menggantung dirinya.  Kematian Wong Sui Sun mencungkil keprihatinan tahanan dalam kem penahanan (KemTa) Batu Gajah.  Tahanan telah menghantar wakil untuk berunding dengan pihak KemTa.  Pihak KemTa sengaja menyulitkan keadaan, bukan sahaja tidak menjawab apakah sebenarnya yang berlaku, sebaliknya menghantar FRU masuk ke dalam KemTa untuk menyerang tahanan.

Tiada tahanan yang dikecualikan.  Bahagian kepala, dada, perut, sendi, bahagian bawah tubuh - sama ada cedera dibelasah dengan baton, ataupun luka ditendang kaki.  Berdepan dengan penindasan penguasa, tahanan telah melancarkan mogok lapar yang paling besar dan paling lama dalam sejarah Malaysia - dengan 250 orang peserta selama 47 hari.

Saya belum lahir pada tahun 1973.  Saya hanya mengetahui apa yang berlaku pada zaman itu dari mulut bekas tahanan, dan sesetengahnya dari buku yang dibaca.

Antaranya, sebuah buku berjudul "Neraka: Mogok Lapar 1229" (buku dalam bahasa Cina), yang mencatatkan memori beberapa orang peserta mogok lapar pada tahun 1973. Lim Choo Leong yang saya kenali menulis, "47 hari itu adalah neraka di alam dunia.  Adalah pergelutan antara hidup dan mati, adalah ujian kepada tekad, adalah latihan kepada keyakinan.  Kami diseksa secara fizikal, didera secara mental dalam keadaan menahan lapar dan dahaga."

Kelangsungan hidup adalah naluri manusia.  Kita akan meronta-ronta untuk bernafas sekiranya jatuh dalam air.  Kita akan cuba sedaya upaya untuk mengelak bahaya di depan kita agar tidak dicederakan.
Maka mogok lapar adalah menentang naluri "kelangsungan hidup" secara sedar, iaitu menghalang pergerakan tangan ketika jatuh dalam air.  Maknanya, secara sedar bahawa ia adalah merbahaya, tetapi tetap menuju ke arahnya.

Pada masa ini, mogok lapar adalah satu tindakan politik untuk memprotes kekuasaan.  Mogok lapar pada 29 Disember adalah protes yang berbaur rasa pilu dan marah - lantaran kematian Wong Sui Sun, penyeksaan fizikal dan mental terhadap tahanan dalam KemTa.  Ia adalah protes terhadap penguasa yang mengurung tahanan politik tanpa bicara, mencabul hak asasi manusia demi mempertahankan kuasa dan kumpulan berkepentingan.

Walaupun pemerintah cuba sedaya upaya untuk menyelindung kebenaran, memanipulasi media arus perdana dan bidang akademik, dan ramai yang kononnya sejarahwan, enggan mengulas bahagian sejarah ini.  Namun, dengan usaha parti politik dan pertubuhan tertentu, kita masih mendapat tahu kisah penderaan tahanan.  Meskipun tubuh tahanan sudah lemah dan uzur sepanjang mogok lapar, namun mereka tetap dilayan dengan keganasan.

Dalam buku "Neraka", seorang tahanan bernama Goh Seow Pheng mengisahkan pengalamamnya kepada Lim Choo Leong.  Pada suatu petang, ketika mogok lapar menghampiri hari ke-40, Goh Seow Pheng nampak seorang tahanan dibelasah.  Goh menjerit dengan harapan jeritannya mampu menghentikan pegawai penjara itu.  Akhirnya, beberapa orang pegawai penjara masuk ke dalam selnya.

Menurut catatan Lim Choo Leong, dua orang membuka kaki Goh, dan seorang daripadanya terus menendang ke arah bahagian kemaluannya.  Batang kayu dan buku lima menghujani badannya, sehingga dirinya pengsan, barulah pegawai-pegawai penjara itu kunci selnya dan beredar.

Saya bayangkan susuk tubuh yang tidak mengambil makanan untuk 40 hari sebagai nyawa yang diseksa.  Mereka yang tidak pernah mengalaminya sendiri mungkin gagal membayangkan idealisme apakah yang menyokong tubuh yang kelaparan dan kehausan itu.  Mereka yang masih menyimpan sedikit khayalan terhadap penguasa, mungkin akan tertanya-tanya, mengapakah wujudnya manusia yang sedemikian rupa sehingga sanggup membelasah nyawa yang terseksa - setelah mendengar kisah sedemikian.

Lamb chop Menteri Dalam Negeri

Seperti peserta perhimpunan aman yang ditangkap dan dibelasah polis pada 28 April 2012, mereka mungkin gagal bayangkan darjat korup sesebuah regim sehingga begitu.  Padahal, dalam mogok lapar yang berlaku pada 39 tahun dahulu, tahanan telah menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan ini.

Jadi, kita tidak terperanjat dengan hujah Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein apabila menjawab soalan mogok lapar tahanan ISA dengan "lamb chops pilihan aku ;)".  Kita juga boleh faham seandainya wujudnya mangsa seperti Teoh Beng Hock pada masa depan.  Bukan kita menerima ketidakadilan yang berlaku, tetapi kita telah mengenali wajah hodoh sang penguasa!

Yang dimangsakan bukan sekadar watak utama dalam kejadian ini, tetapi juga ahli keluarga, sahabat handai mereka, dan manusia dari golongan bawah - yang hidup terkapai-kapai dalam kemiskinan di bawah regim yang korup ini.

Wong Sui Sun mengakhiri suratnya dengan, "Wahai rakan seperjuanganku, jangan memujuk ahli keluarga saya agar tidak sedih.  Nasihat mereka agar benci.  Benci! Benci! Benci! Benci mereka yang menentang pembaruan!"

Apa yang menjurus kepada kematian Wong Sui Sun ialah regim yang tidak membekalkan rawatan perubatan kepadanya, malah menyeksa beliau dari segi fizikal dan mental.  Berdepan dengan tragedi ini, selain simpati dan sedih, kita harus menegakkan keadilan untuk meredakan luka yang dipahat sepanjang tahun-tahun ini.

Ramai sahabat saya daripada generasi tua, yang telah mengorbankan masa mereka untuk memperjuangkan idealisme mereka, sering berkata, "Anak muda, dunia ini adalah milikan kamu!"  Pada 709 dan 428, mereka kembali semula ke jalan raya, memperjuangkan demokrasi dan hak asasi bersama generasi muda.  Mereka begitu gembira melihat kebangkitan rakyat untuk mempertahankan keadilan dan hak asasi.

Melihat arus demokrasi yang bergelora pada hari ini, kita menyaksikan lebih ramai orang telah tampil ke depan.  Antaranya, ia mencerminkan usaha generasi tua yang pernah dicurahkan, dan pengorbanan mereka yang selama-lamanya.

Dunia telah mengorak langkah ke sini kerana generasi tua tidak pasrah pada zaman yang paling genting.  Dunia ini milikan kita, juga milikan mereka.

709, kita berkabung untuk roh-roh yang masih menunggu agar keadilan ditegakkan.

*Soh Sook Hwa ialah AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia, dan setiausaha di cawangan Bayan Baru.  Beliau pernah mencabar AUKU di mahkamah, tetapi gagal. Tulisan ini disunting dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 9 Julai 2012.

Tiada ulasan: