Selasa, 24 Julai 2012

MB: Syabas Tiada upaya Urus Air





SHAH ALAM : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dikenalpasti tidak berkeupayaan menguruskan sumber air di negeri ini dengan baik sejak dua tahun lalu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menyedari hakikat itu kata Abdul Khalid, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan dengan menawarkan cadangan penstrukturan semula operasi air kepada Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, kesemua cadangan itu ditolak dan masih menemui jalan buntu sehingga hari ini.

“Kalau cadangan kita itu diterima, maka perkara ini tidak akan timbul lagi. Kerajaan Negeri juga telah serahkan kepada Kerajaan Persekutuan satu skim penyusunan semula operasi air di Selangor, tetapi ditolak.

“Bagaimanapun, semua syarikat itu akan dapat pampasan menguntungkan mereka. Ia adalah satu cara yang diterangkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Bulanan Kerajaan Selangor, di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, Abdul Khalid kekal dengan pendiriannya untuk meneruskan rancangan mengambil alih pengurusan Syabas demi kepentingan rakyat.

Ini kerana katanya, rakyat perlu diberitahu tentang kelemahan Syabas seperti yang terkandung dalam laporan aduit oleh Jabatan Audit Negara.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri menolak penswastaan air kerana mendakwa ia tidak adil untuk rakyat memandangkan mereka tidak diberikan pilihan untuk membuat perbandingan harga.

“Dalam perjanjian itu, rakyat dijanjikan untuk dapat bekalan air pada harga munasabah, dengan cara perkhidmatan yang baik dan tidak membebankan mereka.

“Namun, perjanjian itu tidak beri peluang kepada rakyat untuk mengatakan harga air terlalu mahal, sedangkan rakyat sepatutnya mempunyai pilihan buat perbandingan. Apabila saya bandingkan penswastaan sekarang dengan hasrat Kerajaan

Negeri (lakukan penyusunan semula operasi air), ia selaras undang-undang dan cara itu lebih baik,” jelasnya.

Tiada ulasan: