Ahad, 22 Julai 2012

MB: Ambil alih Syabas tiada kaitan politik

NURULFATIHA MUAH

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 
 
 
PETALING JAYA - Tindakan Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) adalah profesional demi kepentingan pengguna semata-mata dan bukannya bermotif politik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah itu dilakukan untuk memastikan kira-kira dua juta rakyat Selangor mendapat air terawat mencukupi pada harga munasabah, tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

“Walaupun saya ahli politik, saya seorang profesional. Tujuan saya (hasrat ambil alih pengurusan Syabas) bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi menyelesaikan masalah pengguna.

“Kita tidak boleh ditanya pengguna kenapa (masalah air) tidak selesai, kenapa Syabas, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan salah? Pengguna cuma hendak air bersih, paip mesti ada air dengan harga terbaik,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pembeli rumah kos rendah di blok E di PJS 1, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Ir Iskandar Abdul Samad serta Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya Syabas memanipulasi krisis bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk mengelirukan rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan gaji Pengerusi Eksekutif Syabas yang didakwa tidak munasabah dengan tugas yang dilaksanakannya.

“Saya tidak mahu bayar gaji Pengerusi Eksekutif Syabas dengan harga RM400,000 sebulan kerana tidak buat kerja. Saya tak boleh bagi gaji buta. Sebelum 2008, mungkin boleh, tetapi sekarang tak boleh. Kalau tidak saya suruh rakyat semua pergi ke rumah dia, tuntut duit itu sebab saya mahu rakyat dapat value for money,” katanya.

Kelmarin, Abdul Khalid dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan pemecatan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Cadangan itu dibuat selepas mereka didakwa tidak hadir memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Pemantauan Syabas.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Khalid menyelar Ketua Biro Profesional Muda MCA, berhubung tuduhan mengaitkan Kerajaan Negeri membayar RM100 juta lebih mahal, berbanding RM42 juta seperti yang didakwanya sebelum ini untuk membeli tanah daripada Talam Corporation Bhd (Talam).

"Sebagai profesional, saya sudah minta akauntan bertauliah untuk buat rekod (audit) itu. Apabila siap esok, bincanglah. Kalau saudara Chua pandai, pandailah, tetapi jangan buat nombor bergerak-gerak daripada RM42 juta kepada RM100 juta atau RM1000 juta.

"Itu politik MCA. Kita mentadbir negeri secara profesional. Jadi tunggulah, hasil kajian akauntan bertauliah. Kalau beliau tak faham esok, akauntan itu akan terangkanlah. Jadi bayarlah pada akauntan kos untuk menerangkan," katanya.

Tiada ulasan: