Ahad, 22 Julai 2012

Kecoh tidak dapat berniaga

HIDAYAH HAIROM

Kecoh tidak dapat berniaga
Peniaga turut berbincang dalam kalangan mereka mencari pendekatan penyelesaian terbaik.
 
 
KUALA LUMPUR - Lokasi tapak bazar Ramadan di Jalan Setiawangsa 9, di Taman Setiawangsa di sini, kecoh setelah peniaga mendapat halangan membuka gerai daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setelah permit pihak penganjur tidak memperoleh permit.

Suasana tegang sejak jam 2 petang apabila peniaga bertahan tetap mahu membuka gerai untuk menjalankan perniagaan mereka setelah berhabis modal memasak menu yang mahu dijual.

Beberapa anggota polis dan anggota penguatkuasa DBKL turut kelihatan mengawal keadaan di situ.

Kebanyakan peniaga menyatakan kekesalan dan kebimbangan mereka tidak dapat menjalankan perniagaan sambil berkeras membuka khemah masing-masing.

Bagaimanapun, hasil rundingan bersama DBKL, kira-kira jam 3.30 petang, akhirnya peniaga dibenarkan beroperasi sementara di JalanSetiawangsa 13.

Wakil DBKL berkata, peniaga dibenarkan beroperasi dalam tempoh dua hari (hari ini dan esok) sementara menunggu keputusan pihak tertinggi DBKL dalam rundingan pada Isnin.

“Sebarang keputusan selepas ini bergantung kepada hasil rundingan pada Isnin,”katanya.

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) juga turut hadir membantu rundingan dengan DBKL.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Usahawan Niaga Taman Setiawangsa, Kemala Mamek Aliuddin mengakui mengambil risiko menawarkan tapak bazar kepada peniaga walaupun belum mendapat kebenaran DBKL.

Menurutnya, pihaknya sudah membuat surat permohonan rasmi kepada DBKL sejak 2 Julai, namun hanya mendapat jawapan daripada DBKL pada 18 Julai lalu itupun setelah didesak.

“Kita sudah ada peniaga sejak sebelum Julai lagi kebanyakan mereka datang pada kita menyatakan minat berniaga di sini “Kelulusan belum diperolehi tetapi kita agak kita akan dapat kelulusan. Kita memang sudah tahu budaya DBKL, lama kelamaan mereka akan benarkan jadi kita buat juga dan mengambil risiko,” katanya kepada Sinar Harian.

Seramai 106 peniaga berdaftar menjalankan perniagaan di bazar Ramadhan tersebut dengan kadar sewa tapak RM550 sebulan.

1 ulasan:

hangit berkata...

salam.. mohon bertukar link tuan