Selasa, 10 Julai 2012

Kastam Selangor tumpas cubaan seludup dadah terbesar tahun ini

SINAR HARIAN

PELABUHAN KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor melumpuhkan satu sindiket penyeludupan dadah terbesar tahun ini, dengan penangkapan lima suspek termasuk sepasang suami isteri, melibatkan rampasan pil Eramin 5 bernilai RM58.28 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata sebanyak 2.914 juta biji pil Eramin 5 ditemui dalam sebuah kontena yang diperiksa kastam di Pelabuhan Barat di sini Jumaat lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati dadah itu dibawa dari India untuk didaratkan di Hong Kong, namun berpatah balik ke Pelabuhan Barat pada 23 Jun lepas setelah mengetahui Kastam Hong Kong mengesan kegiatan mereka.

"Kontena itu dipantau kastam sejak tiba di Pelabuhan Barat 23 Jun lepas dan pemeriksaan yang dibuat pada Jumaat lepas mendapati dagangan dalam kontena itu diikrar sebagai 202 guni 'chewing tobacco' dan 100 kotak 'agrabathi' (colok sembahyang orang India).

"Apabila diperiksa, dijumpai 20 kotak yang masing-masing mengandungi 31 paket plastik hitam yang setiap satunya berisi 4,700 biji pil Eramin 5 bernilai kira-kira RM58.28 juta," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Matrang berkata susulan pemeriksaan itu, Kastam menahan tiga lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 30-an yang membawa kepada penangkapan dua lagi suspek iaitu seorang warga Bangladesh dan isterinya wanita tempatan yang masing-masing berumur 41 dan 32 tahun di Pulau Pinang.

Katanya siasatan mendapati tiga lelaki tempatan yang ditahan ialah ejen perkapalan manakala pasangan suami isteri itu memberi arahan kepada ejen tersebut untuk memindahkan kontena ke dalam gudang di Pelabuhan Barat.

"Pasukan Kastam dimaklumkan bahawa kontena itu dipohon untuk dipindahkan ke gudang itu bagi tujuan pecah pukal dagangan dan mengubah dokumen sebelum dieksport semula," katanya.

Matrang berkata kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Dalam kes berasingan, beliau berkata Kastam merampas 60 guni yang berisi 665,200 batang rokok kretek bernilai RM91,728 yang melibatkan cukai RM30,310.88 pada 4 Julai lepas di perairan Tanjung Gabang.

Beliau berkata rampasan itu adalah hasil serbuan ke atas sebuah bot fiber yang disyaki mengangkut rokok-rokok belum lulus Kastam di perairan Tanjung Gabang kira-kira pukul 5 petang.

"Bagaimanapun, tiga suspek yang berada dalam bot itu terjun ke laut setelah menyedari kehadiran pasukan Marin Kastam Selangor dan lalu menaiki sebuah bot lain yang berada berhampiran bot yang ditahan itu," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: