Isnin, 16 Julai 2012

Isu kuil Hindu dan wat Siam baru diatasi sejak 50 tahun


Oleh zaminc
Ekoran tiada pihak yang mengambil tahu masalah berkaitan dengan status tanah wat-wat Siam dan kuil Hindu di seluruh Kedah sejak 50 tahun dahulu, maka kerajaan negeri kini sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, YB Dato’ Manikumar Subramaniam berkata, masalah ini sudah berlanjutan kira-kira 50 tahun, namun tidak ada sebarang pihak yang mengambil kisah mengenainya.

Beliau berkata demikian semasa bercakap di Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Masyarakat Siam Negeri Kedah Kali Ke 2, 2012 di Wisma Darul Aman.

“Oleh itu, kerajaan negeri kini mengambil inisiatif segera bagi menyelesaikan masalah yang sudah berpuluh tahun ini dengan menjemput tuan-tuan bermesyuarat dan bersemuka dengan pihak yang berkaitan dengan tanah ini sendiri agar ianya dapat diselesaikan dengan segera.

“Masih terdapat banyak masalah yang berkaitan dengan wat Siam dan kita kini sedang cuba menyelesaikannya,” katanya.
Menurutnya, beliau perlukan komitmen daripada ‘orang-orang penting’ masyarakat Siam untuk meneruskan usaha murni ini kerana ianya merupakan suatu tanggungjawab sosial.

Masalah yang paling rumit dan sering berlaku dalam kalangan masyarakat Siam dan India adalah masalah status tanah rumah ibadat.

“Saya nak selesaikan masalah ini dengan segera dan takmau dah lepas ni masalah ini wujud,” ujarnya.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh 54 hadirin yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Masyarakat Siam, sami-sami wat dan wakil-wakil pejabat kerajaan.

Mesyuarat ini bertujuan menyelesaikan masalah-masalah yang sering menghantui masyarakat Siam antaranya isu status tanah wat dan rumah, biasiswa pelajar, hari-hari perayaan dan pelbagai lagi.

Tiada ulasan: