Oleh: Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR : Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berfungsi bukan sahaja untuk menakutkan tahanan ISA, bahkan kepada mereka yang tidak ditahan, kata bekas tahanan Hishamuddin Rais.
“Ketakutan menjadikan ISA digeruni. ISA digerakkan di atas landasan ketakutan. Bila orang ramai dapat ditakut-takutkan dengan ISA, maka ISA berjaya.
“Justeru, apa yang kita lawan ialah ketakutan untuk ditangkap,” kata Hishamuddin pada Forum ‘ISA, Penyeksaan Yang Sempurna’ di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, malam tadi.
Jelas Hishamduddin, konsep tahanan tanpa bicara dimulakan penjajah British untuk mematahkan musuh politik mereka. Kaedah sama dilakukan kerajaan Malaysia untuk mematahkan musuh politik mereka, sama ada pembangkang mahupun saingan di dalam Umno-BN sendiri.
“Ini berlaku terhadap apa yang mereka digelar sebagai ‘tiga Abdul’ dahulu. Mereka orang Umno,” kata Hishamuddin merujuk penahanan melibatkan orang kuat bekas Perdana Menteri Tun Razak, iaitu Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan Abdul Samad Ismail.
“Kalau dulu, pemimpin pelajar, gerakan buruh dan parti kiri ditangkap, kebanyakan yang bersuara adalah orang bukan Melayu. Nak tengok parti Melayu seperti Pas untuk bercakap melawan ISA cukup sukar.
“Namun, bila kena pada diri sendiri, barulah ingin bersuara. Operasi Lalang adalah contoh terbaik. Hari ini kita tengok – seperti dalam Dewan ini sendiri, yang paling lantang menentang ISA adalah orang Melayu sendiri,” kata Hishamuddin.
Jelasnya, penyeksaan terhadap tahanan ISA datang dalam dua bentuk, iaitu penderaan secara fizikal dan penderaan secara psikologi.
“Secara fizikal, jika kita tak tahan, kita akan lunyai. Saya secara peribadi telah ditunjukkan kepada individu yang didakwa melakukan kesalahan dan dipukul teruk – seorang warga Indonesia – dikatakan bersubahat dengan peristiwa pengeboman di Bali.
“Ini bertujuan untuk menakutkan-nakutkan secara fizikal. Manakala secara psikologi, tahanan telah dikurung, menyebabkan dia hilang arah.
“Namun, melihat apa yang berlaku selepas Bersih 2.0, rakyat Malaysia telah berjaya melintasi garis takut. Cakaplah tentang penahanan ISA, orang tak ambil ‘port’,” kata Hishamuddin disambut ketawa hadirin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan