Salmiyah Harun, |
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak wajar memperli para peneroka Felda yang mengambil durian runtuh kerana habuan yang diberikan itu tidak tahu dari mana puncanya.
Menurut Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS pusat, Razman Zakaria (gambar), pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 diberikan kepada peneroka sebelum penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di Bursa Malaysia berlaku.
Oleh yang demikian, katanya semua peneroka berhak mendapat durian runtuh itu tidak kira sama ada mereka yang menentang penyenaraian FGVH atau mereka yang menyokong.
"Duit durian runtuh adalah duit lain, yang kita tidak tahu dari mana datangnya duit itu, jadi semua peneroka berhak dapat duit itu. Tidak perlulah sampai hendak perli memperli peneroka pula!" katanya.
Malam tadi Najib terus-terusan mempertikaikan sikap sesetengah peneroka yang menentang penyenaraian FGVH tetapi mengambil bayaran RM5,000 dari Felda.
Najib berkata demikian ketika melancarkan Hari Peneroka di hadapan bangunan baru Felda di Bukit Bintang.
Razman berkata, sebagai seorang Perdana Menteri, beliau tidak patut berkata sedemikian kepada rakyatnya.
"Keadaan ini, sama juga dalam pemberian BR1M, di mana Najib tidak boleh mempertikaikan siapa yang mendapatnya sama ada rakyat itu penyokong pembangkang atau kerajaan. Rakyat ada hak.
"Kenapa dalam pemberian durian runtuh Perdana Menteri tidak boleh bersikap seperti pemberian BRIM?" tegas beliau kepada Harakahdaily.
Tambah Razman, sepatutnya peneroka yang wajar menempelak Najib kerana memberi saham sehingga 180,000 unit kepada Tan Sri Isa Samad yang tidak sampai setahun menyertai Felda.
Sebelum ini, Najib Tun Razak memaki hamun peneroka dengan mengatakan mereka haramjadah.
Semalam dalam lawatannya ke Felda Chini, para peneroka pula diperli-perli dengan mengatakan mereka 'muka tak malu' kerana mengambil durian runtuh kononya hasil daripada penyenaraian.
8 Mei lalu, Najib mengumumkan pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 di mana peneroka, isteri peneroka dan anak masing-masing mendapat RM5,000. Namun FGVH disenaraikan di bursa saham pada 28 Jun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan