Ahad, 8 Julai 2012

Dr M: BN mustahil tawan Kelantan selagi rakyat Kelantan taksub dengan Nik Aziz





KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya menawan Kelantan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang berikutan ketaksuban rakyat negeri tersebut terhadap Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Dalam laman blog Chedet milik bekas perdana menteri itu, Dr Mahathir (gambar) menjelaskan ketaksuban rakyat Kelantan itu dilihat terlalu tinggi sehingga apa sahaja yang didakwa oleh Menteri Besar Kelantan itu  berkenaan agama Islam akan diterima bulat-bulat oleh rakyat Kelantan.

“Saya diberitahu tidak ada kemungkinan Barisan Nasional menang di Kelantan kerana penduduk Kelantan begitu taksub dengan Nik Aziz.

“Demikianlah ketaksuban ini sehingga apa sahaja yang didakwa olehnya berkenaan agama Islam maka orang Kelantan akan menerimanya bulat-bulat sebagai benar dan menepati ajaran Islam,” kata Dr Mahathir dalam blognya bertarikh 6 Julai 2012.

Bekas perdana menteri yang telah berkhidmat selama 22 tahun itu turut menegaskan, rakyat Kelantan juga akan menolak setiap pandangan lain termasuk mufti sekalipun dan hanya menerima pandangan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz.

“Kita hairan bagaimana ada orang Islam yang begitu sekali menyanjung tinggi pemimpin mereka sehingga sanggup minum air basuh kaki mereka ini.

“Kata orang ini, tidak ada gunanya ulama lain atau Mufti menolak dan menidakkan dakwaan Nik Aziz, orang Kelantan tetap akan percaya pendapatnya juga. Jika ada yang ragu sekalipun, mereka tidak akan menyatakan keraguan mereka. Tetapi inilah yang berlaku apabila terlalu taksub kepada pemimpin,” tegasnya lagi.

Menurut pemimpin yang masih lagi berpengaruh itu, walaupun Nik Aziz menyalah gunakan agama demi kepentingan politik apabila  mendakwa mengundi PAS akan beroleh jaminan syurga, masyarakat Kelantan tetap memilih pemimpin itu dan terus setia bersamanya.

“Orang Islam yang berfikiran waras tentu menolak dakwaan Nik Aziz bahawa mengundi PAS akan mendapat pahala, bahkan menjamin syurga di akhirat.

“Kemenangan PAS di Kelantan dan di lain-lain tempat membuktikan kepimpinan Nik Aziz tidak terjejas walaupun jelas menyalah guna agama untuk politik duniawi,” tambahnya lagi.

PAS yang telah memerintah hampir dua dekad di Kelantan juga jelas Dr Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan dan sikap yang lari jauh dari ajaran Islam seperti menidakkan keIslaman orang yang tidak menyertai atau menyokong PAS.

“Dahulu kerjasama antara Umno dengan orang bukan Islam didakwa bertentangan dengan ajaran Islam.
“Sekarang PAS di bawah kepimpinan Nik Aziz bukan setakat bekerjasama dengan orang bukan Islam tetapi juga sanggup bekerjasama dengan orang yang menolak dengan keras dan secara terbuka hasrat PAS untuk mendirikan Negara Islam dan melaksana hukum hudud,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan: