Oleh Mazir Ibrahim
Selain mewujudkan persepsi keraguan terhadap DAP di kalangan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu, satu tuduhan lagi ialah mengatakan parti ini tidak berminat memperjuangkan atau tidak mampu membela isu-isu yang melibatkan kepentingan masyarakat Melayu.
Hakikatnya tidak benar sama sekali.
Dalam konteks kepartian, Pakatan Rakyat yang diwakili oleh DAP, PKR dan PAS membahagi-bahagikan isu mengikut kepakaran masing-masing termasuk kemampuan seseorang pemimpin parti dalam menangani isu-isu yang timbul.
Kemampuan dan kepakaran
Misal kata di pihak DAP, tokoh seperti Tony Pua yang begitu lantang dan konsisten dalam menjawab dan mengurus isu-isu yang melibatkan aspek ekonomi, urus niaga antara kerajaan dan swasta (kroni) seperti kes PKFZ, NFC, jual beli aset ATM, Kedai Rakyat 1M’sia dan hal-hal yang berkaitan.
Dalam hal ini, semua tahu bahawa beliau memang seorang ahli politik yang berlatarbelakangkan ekonomi, perdagangan dan berpengalaman luas dalam bidang tersebut. Pastilah kemahiran beliau ini diperlukan dalam mengurus isu yang berkaitan. Ini bukan dibuat-buat seperti sekadar mencukupkan korum dalam mesyuarat; tidak.
Begitu juga dalam PKR, Rafizi Ramli seorang yang berlatarbelakangkan akauntan bertauliah, berpengalaman, muda dan berketrampilan, pastilah aset-aset beliau ini ditagih dalam membantu mengurus masalah atau isu besar seperti NFC, skandal kontrak LRT Ampang dan sebagainya.
Jadi, kesatuan di pihak Pakatan Rakyat dalam aspek mengurus isu baik isu yang berkaitan dengan permasalahan kaum atau bidang, kepakaran bakat-bakat baru ini perlu diurus secara berpasukan.
Takkan semua nak jadi Ronaldo, mestilah seseorang perlu menjadi Gianluigi Buffon, Frank Lampard atau Rafael van der Vaart, itu barulah ‘total football’ namanya.
Bukan bertindan seperti di sebalah BN, bila satu isu timbul, semua tokoh politik bertempik membela atau menyerang. Kerja mencari glamor agar dapat bertanding pilihan raya, agar dilihat hero oleh pengikut dan pemimpin atasan, mereka mahu tunjuk pada PM yang mereka buat kerja. Ini bukan ‘total football’, ini ‘total kipas’.
Politik kaum dan wang
Malah baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan sendiri mengakui dengan mengatakan, “…minta maaf kalau saya cakap, tidak ada duit tak jalan (jentera)”. Inilah budaya kerja UMNO yang kononnya membela bangsa. Kerja dalam UMNO bukan kerja mengikut kepakaran tetapi atas niat wang dan sebagainya.
Malah dalam BN sendiri, MCA mengurus isu masyarakat Cina, MIC mengurus hal masyarakat India begitu juga halnya dengan PBB di Sarawak dan PBS di Sabah. Begitulah bagaimana BN mengagih kek ekonomi mengikut pecahan perkauman. Ini fakta.
Inilah rahsia bagaimana UMNO dan BN selama ini mengurus negara – iaitu dengan berdasarkan kaum.
Kek ekonomi dipecah mengikut kaum, kuota mengikut kaum dan peluang juga mengikut kuota kaum.
PR tidak begitu, sebaliknya ia mengurus isu atau bidang mengikut keperluan. Keperluan bermaksud, rakyat atau kelompok yang lemah mesti dibantu. Tidak kira apa agama dan keturunan.
Maka, tidak timbul sama sekali tuduhan bahawa DAP hanya mampu mengurus isu bukan-Melayu.
Sebaliknya dalam PR, tugas diagih dan isu diurus berdasarkan kebolehan, pengalaman dan kepakaran, bukan berdasarkan pecahan kaum. Ini dalam konteks kepartian dan inilah beza antara PR dan BN.
PR untuk semua kaum
Dalam konteks sebuah sebuah kerajaan pula, contohnya Pulau Pinang, adalah amat tidak munasabah jika menuduh kerajaan negeri yang ditunjangi DAP (majoriti) bersama PKR dan PAS meminggirkan masyarakat Melayu (seperti tuduhan UMNO), masyarakat India (tuduhan MIC) dan masyarakat Cina (tuduhan oleh MCA).
Sebaliknya, penyelasaian masalah semua kaum berjaya diurus dengan betul. Ini terbukti dalam banyak pelaksanaan pembangunan, bantuan dan penyelesaian masalah yang melibatkan semua kaum di Pulau Pinang. Rujuklah segala laporan yang disiarkan oleh kerajaan negeri baik di Pulau Pinang mahu pun di Selangor, kita boleh susun dan atur program bantuan untuk rakyat yang telah dijalankan sejak dari 2008 hingga kini.
Inilah gambaran kecil pemerintahan di peringkat negeri apabila DAP diberi peluang mentadbir dan mengurus kerajaan.
Dan sudah barang pasti, gambaran ini akan lebih jelas lagi apabila kelak Pakatan Rakyat memerintah di Putrajaya. Pasti impaknya lebih jelas dan jitu. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan