Sebuah NGO mengajak rakyat memboikot sambutan Hari Merdeka tahun ini kerana BN memperalatkannya untuk kepentingan parti.
PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan agar rakyat dan negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat memboikot smbutan Hari Merdeka tahun ini kerana sambutan itu telah dicemari oleh kepentingan politik kepartian yang melampau.
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, “tema hari kebangsaan ‘Janji Ditepati’ yang diambil daripada tema Jelajah BN (Barisan Nasional) adalah keterlaluan.
“Lebih baik sekiranya regim (Umno-BN) terus menggunakan tema ‘Undilan BN’ sempena menghampiri tempoh mati bagi parlimen dibubarkan dan seterusnya pilihanraya dijalankan.
“Oleh itu kami menyeru semua anak muda dan rakyat prihatin agar turut memboikot sambutan kemerdekaan yang menjadi medan politik kepartian regim BN,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, Hari kebangsaan atau Hari Kemerdekaan sepatutnya disambut oleh semua rakyat dalam negara ini merentasi batasan agama dan bangsa, apatahlagi warna kepartian.
“Namun sambutan tahun ini begitu memualkan apabila regim BN yang telah benar-benar terdesak melacuri Hari Kebangsaan dengan menjadikan sambutan sebagai pentas kempen dan dengan tema yang jelas menunjukkan elemen kepartian yang sempit,” tegas beliau.
Ujar beliau, “sudahlah selama ini sambutan merdeka disadur dengan sejarah kemerdekaan hanya menampilkan tokoh-tokoh Umno sahaja sedangkan pada hakikatnya sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan itu berlaku jauh lebih awal sebelum wujudnya Umno.
“Malangnya hanya Umno wujud dalam sejarah sedangkan banyak bukti persekongkolan Umno dengan penjajah British dan pihak yang jelas berjuang bermati-matian dilihat sebagai penjenayah dalam sejarah,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan