Selasa, 24 Julai 2012

Bersih harus saman kerajaan kerana keganasan semasa demonstrasi, kata Tony Pua



Situasi perhimpunan Bersih 2.0 di hadapan Puduraya, Kuala Lumpur. Gambar diambil 9 Julai 2011. – Gambar fail oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR— Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) harus menyaman kerajaan terutama Menteri Dalam Negeri atas keganasan yang berlaku semasa demonstrasi, memandangkan ia kini adalah sebuah pertubuhan yang sah, kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pagi ini.
 "Apabila Bersih 2.0 telah dibuktikan oleh mahkamah sebagai sebuah pertubuhan yang sah, pentadbiran Najib harus menjawab segala tohmahan dan segala tindakan pegawai polis kerana menahan orang yang berbaju kuning disamping merampas baju Bersih melalui sekatan jalan raya di sekitar bandar raya pada hari tersebut.

"Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, selaku Menteri Dalam Negeri, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) haruslah memohon maaf atas apa yang berlaku, apabila pegawainya bertindak kasar dalam dua demonstrasi Bersih 2.0 yang hanya menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Kini organisasi tersebut mempunyai hak untuk menuntut keadilan untuk membawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM ke muka pengadilan atas kerosakan, kecederaan dan malu atas apa yang berlaku," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Pada 9 Julai 2011, kira-kira 20,000 penunjuk perasaan berdemonstrasi menuntut pilihan raya yang lebih adil serta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, terutamanya mereka yang disyaki sebagai pengundi hantu.

Sementara pada perhimpunan Bersih 3.0 yang berlangsung pada 28 April tahun ini, pihak penganjur mendakwa lebih 200,000 orang hadir dalam demonstrasi tersebut dan ribuan para penunjuk perasaan ditahan polis.


Pihak polis mengawal peserta perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur. Gambar diambil 9 Julai 2011. – Gambar fail oleh Choo Choy May
Sementara itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, media propaganda Umno tiada strategi hingga menyatakan Bersih 2.0 adalah pertubuhan haram yang salah di sisi undang-undang.
 "Saya tidak terkejut dengan keputusan ini kerana saya tahu Bersih 2.0 adalah satu pertubuhan yang sah.

"Tetapi, media perdana yang dikuasai Umno suka memburukkan Bersih dengan menggunakan garis politik mereka.

"Saya akan tunggu dan lihat bagaimana media mereka akan 'spin' tentang isu ini," kata Rafizi yang ditemuramah dalam sidang media hari ini.

Sementara itu Timbalan Ketua Penerangan PKR, Sim Tze Tzin berkata ini adalah kemenangan rakyat dan satu aspirasi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Saya menyeru agar Barisan Nasional supaya hentikan kritikan kepada Bersih memandangkan ia adalah pertubuhan yang sah dari segi undang-undang," kata Sim.

Tiada ulasan: