Selasa, 24 Julai 2012

Bersih 3.0: Pertahankan abang, saya pula dipukul - saksi

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Seorang peserta Bersih 3.0 memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa beliau dipukul sekumpulan polis hanya kerana cuba menghentikan kekasaran polis terhadap abangnya.

Hanafi Ahmad Zainuddin, 34, berkata beliau tidak tahan melihat abangnya, Hanif Ahmad Zainuddin, 36, dipukul lalu masuk ke tengah-tengah kumpulan polis untuk meleraikannya.

"Saya sempat melarikan diri tapi dalam saya berlari itu, berkali-kali saya ditumbuk dan belakang saya dihentak," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Hanafi yang merupakan seorang petani dari Negeri Sembilan juga berkata, anak saudaranya sebelum itu turut dipukul polis akibat memakai kemeja T Bersih.

"Saya suruh anak buah saya jangan melawan dan ikut arahan polis tapi dia dibawa ke tepi bangunan dan dilanyak hingga lembik," katanya.

Sebelum itu, Hanif dalam keterangannya memberitahu, beliau menyaksikan seorang peserta himpunan dipukul hingga terkulai dan dibaling ke dalam trak polis.

“Dalam perjalanan saya dibawa polis ke trak, saya sempat menyaksikan seorang peserta dalam usia 20-an dibelasah sehingga tak mampu bangun, tapi masih ditendang dan dipijak polis.

“Kemudian, bila peserta tersebut terkulai, polis bertindak membaling mangsa begitu saja ke dalam trak,” katanya.

Hanif juga berkata, polis turut memukul dan mengetuk kepala beliau ketiak sedang menunggu stesen LRT Masjid Jamek dibuka.

Mereka berdua memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Hari ini merupakan hari keempat sesi pendengaran tersebut berlangsung.

Menurut Dr Khaw Lake Tee, beberapa saksi polis dan petugas media juga akan dipanggil sebagai saksi.
-harakahdaily

Tiada ulasan: