Sabtu, 28 Julai 2012

Bagaimana rasuah rosakkan agama, bangsa dan negara

Oleh Muhammad Zir




Masih ada segelintir di kalangan masyarakat kita yang memandang korupsi sebagai suatu hal yang remeh. Tanpa sedar mereka menggunakan budaya, bangsa dan agama sebagai alasan untuk membiarkan keadaan ini berlarutan.

Kesannya amat buruk kepada diri, keluarga, masyarakat, malah kepada agama, bangsa dan negara. Kaedah memberi dan menerima rasuah juga semakin canggih, sehingga hina rasanya agama dipermainkan seperti itu.

Contohnya apabila seseorang yang merasuah pegawai kerajaan untuk mendapat sesuatu tender/kontrak, ada kalanya setelah memperolehinya, sebahagian dari hasil kerja si perasuah itu disumbangkan kepada rakyat dengan pelbagai cara, seperti kenduri dan sedekah surau.

Perasuah ini boleh datang dari pelbagai bangsa dan agama, sedekah atau sumbangan hasil kerja mereka itu adalah kaedah mencuci dosa rasuah di mata masyarakat. Itu sahaja. Seolah-olah Tuhan tidak nampak kerja keji mereka.

Budaya amalan keji

Apabila disoal, akan muncullah pelbagai ungkapan yang sangat mengelirukan, antaranya:

1.      Jika perasuah itu Melayu maka jawabnya “Tak apalah, mereka Melayu, yang dapat pun Melayu, bukan kaum lain”.
2.      Jika perasuah itu bukan-Melayu maka jawabnya “Itu hal dia, biarlah. Nanti dia juga yang tolong kita, beri sumbangan dana untuk aktiviti kita (masyarakat)”.
3.   “Nak buat macam mana, kita tak tahu apa dia buat, lagipun dia tak usik anak bini kita”.
4.    “Orang kita ni dengki, tak boleh tengok kaum sebangsanya maju, ada saja nak cari salah. Kalau dia (perasuah) tak buat, nanti kaum lain yang buat, hasilnya dapat pada kaum dia juga”.
5.   “Alahai, pejam mata ajelah, duit tu nanti akhirnya tolong buat korban untuk fakir miskin juga. Apalah salahnya, dia bukan curi duit keluarga kita”.

Kesemua jawapan (alasan) ini memang benar-benar pernah didengar dan ia sudah menjadi semacam satu jawapan klise apabila disoal mengenainya. Jawapan ini juga akan membuatkan penyoal (soalan tentang rasuah) menjadi serba-salah dan penyoal pula nampak buruk di mata masyarakat – kerana mempersoalkan perkara ‘lumrah’, yakni rasuah yang seolah-olah telah diterima menjadi suatu kebiasaan.

Dengan bahasa lain, kita yang bertanya akan dilihat pelik atau (jika tak bernasib baik) akan dilihat sebagai dengki.

Khianat amanah

Itu korup kategori rasuah kebendaan. Korup dari segi tugas, amanah dan kuasa lebih banyak lagi. Contohnya ada Yang Berhormat guna kedudukan untuk diri, keluarga dan rakan kroninya, baik dalam peluang perniagaan, pendidikan dan dana mahupun wang peruntukan.

Apabila ditanya kepada masyarakat sekeliling, jawapannya juga tidak banyak beza dengan jawapan di atas. Rata-ratanya akan menjawab ‘biarlah’, ‘tak mengapalah asalkan…’ atau ‘nak buat macam mana’.
Fenomena senyap ini lahir dari satu amalan dalam masyarakat yang berlarutan sejak sekian lama. Dengan kata lain, ia telah menjadi budaya. Budaya yang mana nilai salah dan betul, buruk dan baik sudah bertukar tempat.

Secara prinsipnya, nilai moral buruk dan baik itu diterima berpandukan pertimbangan rasional atau lojik hukum akal. Sebagai contoh, hal rasuah itu jelas melanggar prinsip moral bilamana, insan lain bekerja membanting tulang berusaha keras untuk mencapai sesuatu tetapi gagal hanya kerana dia tidak memberi suap kepada pihak yang memberi kerja.

Manakala pihak yang mendapat laba tanpa berusaha bersusah payah seperti pihak lain, boleh dapat dengan mudah. Tanpa sedar mereka ini telah ‘mencuri’ hak pihak yang seharusnya layak mendapat sesuatu peluang itu. Itu tumbuk rusuk namanya.

Dan, pihak yang menerima rasuah itu pula adalah pihak yang benar-benar tidak amanah dan tidak jujur dalam melaksanakan kerjanya. Mereka ini menjadi elemen utama membiaknya rasuah. Dan biasanya mereka diberi amanah oleh rakyat untuk menjamin keadilan, menjaga wang rakyat dan berkhidmat untuk rakyat.

Apa-apa kontrak kerja yang dikeluarkan oleh institusi/jabatan (baca: kerajaan) bergantung kepada tawaran pihak pembida. Lagi terbuka, maka kos akan jadi lebih rendah. Kos ini dibayar oleh jabatan (pemberi kontrak) daripada duit cukai rakyat.

Perasuah yang memperolehi kontrak, tidak mungkin akan meletakkan harga yang murah, ini kerana kos yang tinggi itu adalah untuk menampung modal rasuah mereka. Malah kos ini lebih mahal kerana perasuah bukanlah bekerja atas kepakaran mereka. Sudah tentu mereka tidak tahu bagaimana mahu mengurangkan kos tanpa menjejaskan mutu atau hasil kerja.

Dari aspek pihak yang menerima rasuah pula, biasanya mereka ini bekerja dengan sesebuah institusi/jabatan, mereka mempunyai kuasa untuk menentukan pihak mana yang seharusnya mendapat peluang tersebut. Mereka ini bukan sahaja ahli politik malah pegawai atasan, rendah hinggalah kepada ahli majlis.

Jika pihak ini benar-benar mengamalkan prinsip moral, akhlak serta ajaran agama yang sebenar, pasti aktiviti rasuah ini dapat dibendung dan dikawal.

Mengapa rasuah perlu dibendung dan dikawal

Jika rasuah dapat dibendung dan dikawal, semua pihak akan puas hati, gembira dan berkongsi hasil serta ‘dividen’ anti-rasuah, antaranya:

1.      Duit organisasi/institusi yang juga duit dari cukai rakyat, tidak dibazirkan, sebaliknya dapat dijimatkan. Berjimat-cermat itu adalah perkara baik yang tidak ada buruknya, malah boleh diagihkan kepada mereeka yang benar-benar memerlukannya.
2.      Pihak institusi/jabatan termasuk warga kerjanya akan lebih dihormati oleh masyarakat kerana bersih dalam menjalankan tanggungjawabnya. Siapa tak bangga anak kita (yang bekerja di sektor kerajaan) seorang yang amanah.
3.      Perasuah akan lebih malu dan takut untuk melakukan rasuah. Ini adalah kesan psikologi paling penting dalam membendung rasuah. Berbeza dengan undang-undang yang hanya mampu menghukum tanpa mendidik dan mengasuh tentang keji, jijik dan hinanya rasuah.

Tetapi jika rasuah gagal dibendung, akan berlaku perkara sebaliknya seperti:
1.      Wang cukai rakyat akan dibelanjakan secara salah dan membazir. Kesan pembaziran amat berbahaya kerana rakyat akan menanggung beban kenaikan cukai, secara langsung dan tidak langsung, mutu kerja untuk rakyat jatuh merudum dan akan mencetuskan lebih banyak masalah lain.
2.      Institusi (kerajaan) tidak dapat menjalankan kewajipannya kepada rakyat. Kesannya, segala perancangan kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat akan gagal, dan ia membangkitkan kemarahan rakyat (malah kebangkitan rakyat Arab adalah berpunca daripada pemerintahan yang korup, rasuah dan zalim).
3.      Perasuah akan bermaharajalela membeli kuasa dan undang-undang demi memenuhi cita-cita mereka, akhirnya sesuatu hak dan kebenaran boleh dijual beli. Sudah tentu rakyat akan menderita, namun akhirnya keperitan hidup akan membangkitkan semangat rakyat untuk menentang kerajaan yang rasuah.

Rasuah boleh halalkan yang haram, haramkan yang halal

Inilah nilai moral yang boleh mempengaruhi amalan (budaya) sesuatu masyarakat. Jika masyarakat kita melihat perkara ini secara ‘endah tak endah’ pasti lama-kelamaan, nilai salah dan buruk ini akan diterima sebagai ‘boleh’ atau ‘halal’. Tanpa sedar kita telah mengubah hukum kehidupan.

Hukum ini bermaksud hukum agama, hukum kemanusiaan dan hukum alam. Ketika inilah maka agama (baca: semua agama) akan rosak dan maruah bangsa akan hilang. Inilah hasilnya apabila nilai baik bertukar tempat. Agama pada ketika itu tak ubah seperti barang dagangan yang lain.

Ketika bangsa dan agama sudah rosak, maka Tuhan akan menurunkan bala dengan pelbagai bentuk, antara yang paling nyata adalah kemiskinan. Dengan kemiskinanlah akan mula berlakunya keganasan. Kemiskinan dalam konsep Islam merupakan suatu dosa besar yang nyata. Apatah lagi kemiskinan yang dicipta oleh rasuah dan korupsi.

Ini akan membuka jalan kepada kekufuran dan akhirnya kejahilan. Bangsa yang jahil akan menolak apa sahaja perkara yang baik termasuk agama. Inilah yang dikatakan sebagai tirani. Manusia menzalimi manusia lain dan turut menzalimi diri sendiri.

Jihad membanteras rasuah

Apakah ada lagi perkara yang lebih penting ketika ini selain daripada jihad membanteras rasuah dan korupsi? Tidak ada gunanya bercakap berdegar-degar tentang agama tetapi membisu seribu bahasa apabila berdepan dengan gejala rasuah.

Jika kita terus membiarkan rasuah atau korupsi berleluasa di bumi yang kita diami ini, pasti Malaysia akan binasa. Inilah yang dimaksudkan oleh Lim Guan Eng ketika berhujah dalam Debat 2.0 dengan Presiden MCA baru-baru ini, yakni: “Jika kita hapuskan rasuah, BN akan mati. Jika kita tidak hapuskan rasuah, Malaysia akan mati. Pilihannya adalah jelas.”

Pilihan kita sudah amat jelas, mahu kekalkan BN yang rasuah atau menolak BN demi Malaysia yang bakal dibersihkan dan semoga kekal tanpa rasuah untuk tahun-tahun mendatang? Ini negara kita yang tercinta. Setiap individu perlu berjihad membanteras rasuah. – Roketkini.com

Tiada ulasan: