Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Senator Dr Syed Husin Ali menjangkakan, jumlah wang haram yang mengalir ke luar negara akan terus meningkat ekoran prestasi buruk Umno BN pada masa kini.
Katanya, perkara itu terbukti selepas Umno BN kalah teruk pada pilihan raya umum (PRU) lalu apabila pengaliran wang haram meningkat mendadak pada 2009.
“Lonjakan besar yang berlaku ini ialah dalam tempoh dua tahun berikutan PRU pada Mac 2008. Umno BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam Parlimen. Adakah perkara ini berlaku akibat takutnya sesetengah golongan kaya dengan keputusan pilihan raya itu?
“Saya harap jumlah aliran keluar tidak terus melonjak oleh kerana ada ketakutan sesetengah pemimpin besar politik dan ekonomi yang mengandaikan prospek buruk Umno BN dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam ucapan penangguhan di Dewan Negara, semalam.
Laporan Global Financial Integrity (GFI) pada tahun lalu menyebut Malaysia menduduki tangga kelima pengaliran wang haram, iaitu di belakang China, Rusia, Mexico dan Arab Saudi.
Dalam tempoh tahun 2000 hingga 2008, jumlah wang haram mengalir sebanyak $291 bilion, manakala sehingga 2009, jumlahnya ialah $337 atau lebih RM1 trilion.
GFI mendefinisikan wang haram merujuk kepada wang daripada aktiviti tidak sah seperti rasuah, kecurian, sogokan serta pengelakan cukai.
Mengulas lanjut, Syed Husin yang juga Ahli Biro Politik KEADILAN berkata, aliran wang haram sebanyak RM1 trilion bersamaan lima kali ganda anggaran Belanjawan 2012 iaitu RM182 bilion.
Dari segi hutang negara pula, beliau berkata, jumlah itu lebih dua kali ganda hutang negara pada 2012 iaitu RM456 bilion.
“Fikirkan betapa berfaedahnya jika wang atau modal sebanyak ini boleh digunakan sebagai pelaburan dalam negara.
“Dengan cukai yang boleh dikutip daripada wang haram yang mengalir keluar sepanjang satu dekad antara tahun 2000 sehingga 2009, kita sebenarnya boleh melunaskan sebahagian besar daripada hutang negara tersebut,” katanya.
Syed Husin menambah, jika aliran wang haram boleh dikawal, Malaysia tidak perlu berhutang ataupun terlalu bergantung kepada pelaburan asing untuk pembangunan negara.
Justeru, beliau menggesa kerajaan bertindak lebih telus untuk mengawal perkara tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan