ANTARA POS.COM
ALOR SETAR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan terhadap wakil rakyat dan exco Kerajaan Negeri Kedah meminta rebat sebanyak 30 peratus daripada peruntukan pentadbiran Pakatan Rakyat itu.
Pengarah SPRM Kedah, Mohamad Yusoff Akope berkata beberapa pegawainya telah menemui seorang ahli perniagaan yang berusia 55 tahun untuk disoal siasat berhubung wang sogokan.
Bagaimanapun, Mohamad Yusof enggan menjelaskan dengan lebih lanjut memandangkan siasatan sedang dijalankan.
Katanya, SPRM akan menyiasat aduan yang dibangkitkan beberapa pertubuhan Cina ketika sesi dialog dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Sungai Petani, malam Jumaat lalu.
Beliau berkata, SPRM akan menjalin kerjasama dengan MCA negeri itu dan Gerakan yang menerima aduan daripada beberapa pertubuhan Cina bahawa mereka telah diminta untuk membayar wang sogokan.
"Kami sudah memulakan siasatan tetapi ia berdasarkan apa yang dilaporkan media. Kami sedang mengenal pasti pertubuhan Cina yang membuat aduan kepada MCA dan Gerakan.
"Kami minta pertubuhan itu untuk tampil. Ia membenarkan kami untuk mengumpul bukti kukuh bagi membuka kes ini," katanya kepada The Star, Rabu.
Mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh Pemuda Gerakan, Mohamad Yusoff berkata, SPRM akan melakukan siasatan berasingan mengenai kes itu.
"Setakat ini, tiada laporan dibuat secara langsung dengan SPRM oleh orang ramai," katanya.
Selepas membuat laporan polis di balai polis Alor Setar pada Rabu, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, masih belum memuaskan bagi PKR untuk menjalankan siasatan sendiri.
"Biarlah pihak berkuasa tertinggi menyiasat perkara ini, bukan PKR saja. Polis perlu menyiasat dakwaan ini bagi memastikan dana awam untuk rakyat Kedah dilindungi," katanya.
Pada Isnin, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan negeri, Tan Chow Kang @ Tan Joo Long menggantung tugas pembantunya kerana didakwa meminta 'wang rebat' daripada peruntukan yang diagihkan kepada pertubuhan Cina di Kedah.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, satu siasatan akan dilakukan terhadap dakwaan itu sekiranya ada bukti.
"Kami mengalu-alukan pendedahan mengenai rasuah terhadap mana-mana individu di dalam pentadbiran kerajaan negeri tetapi mestikan disertakan dengan bukti," katanya.
Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menerima peruntukan RM100,000 setiap tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan