Selasa, 28 Februari 2012

DAP dedah lagi salah guna kuasa NFCorp

Roketkini.com




PETALING JAYA: DAP hari ini mendedahkan lagi salah guna kuasa NFCorp – kali ini kesalahan melanggar Akta Syarikat – kerana memberi pinjaman kepada para pengarahnya serta syarikat-syarikat lain milik para pengarahnya secara tidak sah.

Sehubungan itu, DAP menuntut supaya Peguam Negara bertindak segera ke atas NFCorp, bukan sahaja dalam kes pecah amanah (CBT) tetapi juga atas kesalahan melanggar Akta Syarikat.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, beliau telah mendedahkan sebelum ini bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta di antara kerajaan Malaysia dan NFCorp hanya boleh digunakan untuk menubuhkan dan menjalankan operasi Pusat Fidlot Nasional selaras dengan dasar kerajaan Malaysia untuk membangun, memupuk dan mempromosikan pengeluaran daging lembu.

Namun, katanya, jelas bahawa wang pinjaman itu telah digunakan untuk tujuan selain daripada menternak lembu, dan kesalahan ini termasuk membeli kondominium mewah di Malaysia dan Singapura, serta membuat pelaburan dalam perniagaan di Singapura.

Menurutnya, pemilikan harta dan pelaburan tersebut dengan pinjaman kerajaan tidak dibuat melalui NFCorp tetapi melalui pengarah-pengarah individu dalam syarikat.

“Ini bermakna NFCorp telah meminjamkan wang dari kerajaan kepada pengarah-pengarah individu dalam syarikat atau terus kepada syarikat-syarikat yang mempunyai para pengarah yang sama dalam syarikat.

“Syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan para pengarah tersebut termasuklah Meatworks (Singapore) Pte Ltd yang tidak dimiliki oleh NFCorp tetapi dimiliki oleh pengarah-pengarah individu dalam NFCorp,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, bukan sahaja penggunaan wang itu melanggar perjanjian pinjaman, ia juga dilarang melakukan pemberian pinjaman seumpama di bawah Akta Syarikat.

Katanya, Seksyen 133 dan 133A Akta Syarikat di bawah kategori “pinjaman-pinjaman yang dilarang” menjelaskan bahawa mana-mana syarikat tidak dibenarkan memberi pinhaman kepada pengarah syarikat atau syarikat yang dianggap berkaitan dengan syarikat tersebut, atau mewujudkan apa-apa jaminan berkaitan dengan pinjaman kepada pengarah berkenaan oleh orang lain.

Beliau menjelaskan, dalam keadaan di mana sesetengah jenis pinjaman dibenarkan seperti pinjaman perumahan kepada pekerja dan bayaran awal (advance), ia hanya sah di sisi undang-undang jika para pemegang saham memberi kebenaran terlebih dahulu.

“Sudah jelas dalam kes ini bahawa tidak ada sebarang kebenaran diberikan daripada Kementerian Kewangan yang memegang saham utama (golden share) dalam NFCorp,” katanya.

Beliau menambah, Seksyen 133A akta yang sama juga meluaskan larangan tersebut kepada pinjaman yang diberikan kepada orang yang mempunyai hubungan dengan para pengarah syarikat yang memberikan pinjaman.

Orang yang dimaksudkan itu termasuk syarikat lain yang mana para pengarahnya mempunyai kepentingan 20 peratus eukiti saham dalam syarikat tersebut.

Beliau menjelaskan, Seksyen 133 (4) akta yang sama juga menyatakan bahawa para pengarah yang melanggar larangan itu telah melakukan kesalahan jenayah, dan mereka juga secara bersama bertanggungjawab terhadap syarikat jika berlaku sebarang kerugian.

Pua berkata, tindakan NFCorp mempertikaikan cadangan polis supaya NFCorp didakwa atas tuduhan pecah amanah turut membuktikan syarikat itu telah melakukan kesalahan.

Jelasnya, dalam mempertikaikan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Syed Ismail Syed Azizan, NFCorp pada 26 Februari telah mendakwa bahawa polis bertindak terlalu awal dan gagal mengambil kira “niat” para pengarah NFCorp.

“NFCorp telah mendakwa bahawa ‘syarikat-syarikat yang tidak berkaitan’ dengan NFCorp di mana wang itu disalurkan, sememangnya patut menjadi anak-anak syarikat NFCorp.

“Bagaimanapun, dakwaan ini sebenarnya satu pengakuan melakukan kesalahan di bawah Akta Syarikat,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan NFCorp bahawa “para pengarah NFCorp memang berada dalam syarikat-syarikat bersekutu ini” membuktikan “usaha untuk mwujudkan rasional” bagi sekumpulan syarikat yang tidak berkaitan; yakni ia adalah kesalahan di bawah Akta Syarikat. – Roketkini.com

Tiada ulasan: