Harakahdaily, | |
KUANTAN: Laporan kes khalwat yang dikatakan melibatkan Dr Badrulamin Baharon tidak kuat kerana ketika pegawai JAIP sampai bilik berkenaan sudah penuh dengan orang.
Menurut laporan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), pegawai mereka hanya sampai ke bilik 8365 Hotel Swiss Garden hanya sekitar jam 4.30 pagi.
Dalam bilik berkenaan sudah ada Badrulamin, wanita berkenaan dan beberapa lelaki lain.
Ini bermakna, JAIP tidak menangkap Badrulamin berdua-duaan.
Pintu bilik berkenaan pula sudah terbuka dan Badrul dikelilingi oleh beberapa lelaki, kata sumber dari JAIP.
Blog Umno mula menyiarkan pelbagai laporan berkaitan tangkapan ini termasuk kononnya Badrul hanya memakai tuala ketika ditangkap.
Blog itu juga melaporkan kononnya Harakah membuat laporan muka depan penangkapan ini.
Padahal, Harakah tidak pernah membuat laporan berkenaan (gambar kanan).
Penjelasan Badrulamin
Sebelum ini, dalam kenyataannya, Badrulamin menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa beliau ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.
Beliau ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012.
"Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.
"Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan," kata Badrulamin.
Menurut Badrulamin, dia telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah beliau.
Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan beliau bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga.
"Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin," kata Badrul.
Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, beliau membantu beliau mendapatkan bilik penginapan, kata Badrulamin.
"Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya," ceritanya.
Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.
"Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka.
"Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.
"Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali.
"Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya," cerita Badrul lagi.
Badrul dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari, iaitu esok dan berjanji akan datang dengan peguamnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan