Jumaat, 17 Februari 2012

Kemelut NFC : Rafizi, Zuraida Diarah Jawab Saman Shahrizat


ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Ketua Wanita parti itu, Zuraida Kamaruddin diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini menjawab menjelang 9 Mac ini, saman fitnah yang dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat memfailkan saman tersebut terhadap mereka pada 19 Januari berikutan kenyataan yang dikatakan fitnah terhadap beliau berhubung kontroversi National Feedlot Corporation (NFC), lapor The Star Online.

Hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera mengeluarkan perintah itu apabila saman itu didengar di mahkamah terbuka hari ini.
Saman tersebut difailkan oleh Shahrizat selepas PKR melemparkan tuduhan bahawa Ketua Wanita UMNO itu menyalahguna dana kerajaan yang bernilai jutaan ringgit bagi tujuan perbelanjaan peribadi.
Shahrizat bagaimanapun telah menafikan perkara tersebut. Projek ternakan lembu itu diuruskan oleh suaminya, Datuk Mohamad Salleh Ismail dan anak-anak mereka.

Projek itu menjadi perhatian media negara selepas Laporan Ketua Audit Negara tahun lepas dan terus mendapat publisiti meluas selepas dikaitkan dengan keluarga Shahrizat.

PKR telah membuat beberapa pendedahan berkaitan dengan skandal itu, termasuk pembelian dua unit kondominium mewah oleh NFC di Bangsar, Kuala Lumpur, dan didakwa menggunakan dana itu untuk menanggung perbelanjaan Shahrizat dan keluarga.

Pembangkang mengatakan keluarga Shahrizat telah menggunakan hampir RM600,000 dari dana projek NFC untuk menyelesaikan bayaran kad kredit mereka pada 2009.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh pihak pengurusan NFC yang menegaskan penggunaan kad kredit itu hanya digunakan untuk tujuan perniagaan.

Tiada ulasan: