Jumaat, 17 Februari 2012

Siapa Zaid Ibrahim Nak Ramal Keputusan PRU? - Tajuddin

Post Pic


SHAH ALAM: Ramalan Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berhubung Barisan Nasional tidak akan dapat mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi pada pilihan raya akan datang tidak tepat sama sekali.

Bahkan pandangan itu menurut Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman tidak wajar mendapat perhatian memandangkan ia bukanlah datang dari seorang yang mempunyai kredibiliti dalam perjuangan politiknya.

“Dia (Zaid Ibrahim) keluar UMNO, dan masuk PKR kemudian keluar PKR masuk KITA dan semua ini adalah mencerminkan ramalan masa hadapan, dia cuba hendak membuat persiapan untuk hadapi masa hadapan dengan mengambil tindakan itu dan ini semuanya.

“Tetapi apabila dia masuk semua parti ni, semuanya sudah jadi tidak betul. Semua jadi salah, jadi macam mana hendak percaya dengan ramalan dia berhubung dengan keputusan pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada AntaraPos.com.

“Jadi bagi saya dia (Zaid Ibrahim) ini apa dia buat pun tiada kredibiliti kerana apabila kita melihat sejarah dan pengalaman dia dalam politik, dia tidak boleh menyelami, merasai nadi dan perasaan rakyat, dia ni tidak sensitif kepada persekitaran,” katanya.

Zaid sebelum ini meramalkan BN akan kalah pada pilihan raya umum akan datang dalam satu temu bual bersama Sinar Harian.

Menurut Zaid, tiada perubahan yang dibawakan oleh BN menyebabkan parti itu akan tewas.

“Saya tidak kata saya begitu pasti, tetapi saya tidak nampak BN akan menang sebab tiada perubahan dalam BN, yang ada cuma beri duit, beri projek,” katanya.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata ramalan yang dibuat oleh mereka yang suka melompat parti ini tidak seharusnya dipandang serius oleh rakyat.

“Ramalan Zaid Ibrahim itu tidak boleh pakai, dia pakai komen sahaja atas dasar dia dan pertimbangan dia sahaja, andaian dia dan semuanya. Kalau awak lihat semula ke belakang, semuanya dia tidak ada kemampuan untuk membuat ramalan-ramalan menjadi kenyataan,” katanya.

Malah Tajuddin meminta rakyat mengkaji kredibiliti Zaid yang tidak pernah kekal pada satu-satu parti untuk satu tempoh masa yang lama.

“Zaid Ibrahim ini dia ni tengok dahulu agak-agak boleh untung dalam pembangkang dahulu, dia keluar UMNO, kemudian masuk PKR, kemudian dia tengok dalam Keadilan, dia cuba untuk dapatkan pangkat yang tinggi dalam Keadilan dia tidak dapat, kemudian dia keluar Keadilan, dia tubuh KITA, jadi bila dia tubuh KITA, dia boleh jadi Presiden parti, dapat pangkat kan jadi presiden kemudian jadi presiden pun dia tengok dia tidak boleh bawa, kesimpulannya apa yang dia cari, dia hendak cari pangkat dan kedudukan,” katanya.

Sebelum ini, kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati hanya 18 peratus rakyat di Selangor yakin kerajaan Pakatan Rakyat mampu mengekalkan kuasa di Selangor manakala 46 peratus mengatakan mereka tidak tahu.

Manakala 36 peratus pula yakin, parti yang akan memerintah Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke 13 ialah Barisan Nasional, menurut Pengarahnya, Profesor Dr. Mohammad Redzuan Othman.

Menurut kajian itu lagi, responden yakin sokongan rakyat ke atas Barisan Nasional meningkat hasil daripada pendekatan kempen yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di bawah slogan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Tiada ulasan: