Selasa, 28 Februari 2012

Pemuda PAS serah memo bantah konsert Erykah

Aziz Muda,


KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagi mendesak dibatalkan konsert penyanyi Erykah Badu di negara ini.

Mengikut perancangan, penyanyi wanita yang berasal dari Amerika Syarikat itu akan mengadakan konsertnya pada malam esok, 29 Februari, di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Desakan itu dibuat bagi mengelakkan kesan lebih buruk ke atas rakyat negara ini, memandangkan penampilan penyanyi itu yang penuh dengan kontroversi.

Memorandum tersebut diserahkan oleh setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil di pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di sini, sekitar jam 11.15 pagi tadi dan diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan menteri terbabit, Abdul Rauf Puteh.

Turut menemani Khairul Faizi, Penolong Setiausaha 111 Dewan Pemuda PAS Malaysia, Yusapiza Yaakob; Pegawai Media Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Abdul Hadi Mohd Ghazali; Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Suhaimi Abdul Aziz.

Dalam memorandum tersebut, Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, kehadiran penyanyi itu pada asalnya tidaklah begitu disedari sehinggalah tersiarnya satu rencana mengenainya di dalam akhbar cetak The Star dan laman onlinenya semalam.

Menurut Khairul Faizi, kontroversi timbul apabila akhbar The Star telah menggunakan gambar penyanyi itu yang memaparkan kalimah Allah pada kedua-dua bahagian bahunya tanpa mengira sensitiviti masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Katanya, penyanyi itu jelas telah menghina Islam apabila beliau meletakkan tatoo di bahagian hadapan badannya dengan kalimah Allah.

"Rata-rata umat Islam yang menyedari iklan dan promosi itu di media terkejut dan marah dengan kehadiran penyanyi itu dengan persoalan, bagaimana dia yang jelas menghina Islam boleh dibenarkan mengadakan konsert di negara ini.

"Harakahdaily semalam telah mengeluarkan satu posting daripada salah seorang pembacanya yang mempertikaikan bagaimana penyanyi itu dibenarkan untuk beraksi di Malaysia," katanya pada sidang akhbarnya di Pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di sini, selepas penyerahan memorandum itu.

Gambar tersebut, menurutnya, telah tersebar di dalam pelbagai laman sesawang lain dan kini menjadi pertikaian massa kerana ia sudah tentu akan melahirkan rasa tidak puas hati dan marah di dalam hati rakyat Malaysia.

"Malah gambar itu juga menjadi gambar rasmi kepada laman sesawang penyanyi itu bagi menunjukkan gambaran bahawa beliau tidak menghormati kalimah Allah yang mulai," tegasnya.

DPPM turut kesal terhadap akhbar The Star kerana tidak sensitif menerbitkan gambar tersebut kepada pembaca walaupun tentunya sedar ia adalah satu penghinaan kepada Islam.

"Walaupun The Star telah menerbitkan satu jawapan permohonan maaf di atas kesilapan tersebut dan telah disiarkan di dalam laman sesawangnya, namun ia telah berlaku dan perlu ada tindakan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Khairul Faizi menegaskan, lebih dikesali, dengan latar belakang penyanyi itu sebagai penganut Islam, beliau tetap cuba menonjolkan identitinya dengan penampilan seperti itu.

Penampilan yang ditampilkan itu, tambahnya, secara jelas telah melanggar syariat Islam, bahkan dianggap sebagai menghina Islam.

"Apa yang dibimbangkan, imej beliau akan menjadi ikutan anak-anak muda beragama Islam di negara ini. Lebih dari itu, penampilan seperti itu diiktiraf pula di negara ini dengan kebenaran beliau mengadakan konsert di negara ini dan dipromosikan oleh media-media tempatan," ujarnya.

Sehubungan itu, DPPM turut mendesak Rais memantau dan mengawal semua media agar mengikut ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah kementerian tersebut sepatutnya lebih sensitif dalam memastikan tidak ada penyanyi luar atau artis yang dijemput mengundang kontroversi dan kemarahan rakyat khususnya mereka yang beragama Islam di negara ini.

Tiada ulasan: