Isnin, 27 Februari 2012

Fuziah: Himpunan Hijau 2.0 paling berjaya

Oleh: Sidiqin Omar

KUANTAN : Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menyifatkan Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan hari ini sebagai himpunan paling berjaya pernah diadakan.

Perhimpunan tersebut yang dianjurkan oleh 80 NGO prihatin dan disokong Pakatan Rakyat, menarik sokongan kira-kira 15,000 peserta berbilang kaum.


“Kehadiran NGO, aktivis parti politik dan orang ramai sangat memberangsangkan. Ini antara himpunan Lynas yang paling berjaya,” kata Fuziah yang juga anggota Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0.

Himpunan Hijau 1.0 diadakan pada Oktober 2011 dan menarik sokongan kira-kira 7,000 peserta.

Menurut Fuziah, yang juga Naib Presiden KEADILAN, usaha berterusan akan dilakukan bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai bahaya loji pembinaan prosesan nadir bumi oleh Lynas Advances Material Lamp di Gebeng, Kuantan.


Mengulas mengenai perhimpunan hari ini, Fuziah mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana memberikan kerjasama, malah turut menyatakan sokongan terhadap perhimpunan itu.

Malah, katanya, Polis Di Raja Malaysia turut memberikan publisiti dengan mengambil gambar dan memuat naik ke laman twitter rasmi pihak berkuasa itu.

Katanya, sokongan anggota polis, termasuk memberikan tepukan ketika aktivis NGO memberikan ucapan, menandakan mereka juga membantah kehadiran Lynas yang mengancam nyawa rakyat Malaysia.

“Polis pun rakyat juga. Rakyat Kuantan bersatu hati. Isu Lynas bukan isu kaum, agama atau bangsa tertentu. Ia melibatkan semua,” katanya.

Tiada ulasan: