Sabtu, 25 Februari 2012

SPRM sepatutnya tiada masalah siasat Shahrizat- Rafizi

Oleh: Aedi Asri Abdullah

PETALING JAYA: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepatutnya tidak mempunyai masalah menyiasat Datuk Seri Shahrizat Jalil, berhubung pembabitannya dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau mengulas kenyataan panel SPRM yang mahukan skandal itu diselesai segera, supaya berlaku ‘adil kepada semua pihak terlibat’.


“Tuduhan terhadap perlakuan Shahrizat adalah jelas- samada Shahrizat terlibat dalam memberi kontrak- atau jika dia sudah tahu wang diguna untuk membeli kondo, kenapa dia tidak melaporkan kepada pihak berkuasa?

“Ini soal yang jelas, sepatutnya tidak ada masalah bagi SPRM siasat secepat mungkin,” ujar Rafizi dalam satu kiriman emel kepada keadilandaily.

Semalam, Pengerusi panel SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil dilapor berkata, kes itu terlalu ‘dipolitikkan’, maka SPRM perlu memutuskan sama ada Shahrizat terlibat dalam proses membuat keputusan mengenai pembiayaan projek tersebut.

“Soal politik atau tidak itu tidak ada kena mengena dengan siasatan SPRM,” kata Rafizi.

“NFC merupakan isu besar, bukan bermakna ia dipolitikkan. Sepatutnya SPRM berterima kasih kerana ramai tampil ke hadapan membantu siasatan dengan memberi maklumat.

“Sebab itu rakyat hilang sabar walaupun pelbagai fakta telah diberikan, namun sehingga sekarang tiada tindakan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan peguam negara menyerahkan semula kertas siasatan SPRM sebelum ini, bukan perkara mengejutkan.


“Malah saya yakin banyak siasatan rasuah ‘tersangkut’ di jabatan peguam negara, bukan di SPRM. Kalau perkara ini berterusan, pimpinan SPRM perlu berani tampil ke depan dan dedahkan perkara ini.

“Jangan duduk diam dan salahkan pejabat peguam negara, tapi berdepan dengan mereka,” tegas Rafizi.

Tiada ulasan: