Sabtu, 25 Februari 2012

Fuziah: Polis jamin keselamatan peserta Himpunan Hijau

Oleh: Mohd Martin Kahar

KUANTAN – Penganjur Himpunan Hijau 2.0 berjaya mendapatkan kerjasama baik daripada pihak polis bagi memastikan perhimpunan yang bakal berlangsung pada Ahad ini, berjalan lancar.


Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0, Fuziah Salleh berkata, pihak polis memberi jaminan akan menjaga keselamatan peserta selain menghalang sebarang provokasi melampau dari pihak tidak bertanggung jawab.

Katanya, jaminan itu diberikan selepas pertemuan dengan Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifudin Abd Ghani dan Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusuf.

“Polis memberi jaminan akan menjaga keselamatan peserta, orang awam dan juga pemimpin Pakatan Rakyat.

“Mereka juga akan memberi kerjasama dengan menunjukkan arah trafik lokasi perhimpunan memandangkan ia telah ditukar pada saat-saat akhir,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily.

Menurut Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan, pihak penganjur juga berjaya mendapatkan kebenaran bertulis polis setelah permohonan yang dibuat menepati syarat yang ditetapkan di bawah akta polis yang baru.


Katanya, penganjur juga tidak dihalang menggunakan pembesar suara dengan syarat ia tidak mengganggu ketenteramaan awam pada perhimpunan yang dijangka bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari itu.

Perhimpunan Hijau 2.0 dianjurkan bagi membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng, Kuantan.

Lokasi awal yang dirancang adalah di kawasan Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang terletak di tengah bandar Kuantan, namun MPK telah memagar kawasan berkenaan.

Persetujuan kemudiaan dicapai untuk memindahkan himpunan itu ke Padang MPK 4 yang dinamakan Padang Kemunting, terletak di depan Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Padang tersebut boleh mengisi sekitar 20,000 orang pada satu masa.

Tiada ulasan: