Sabtu, 25 Februari 2012

Mahasiswa turut turun bantah Lynas

Oleh: Aedi Asri Abdullah

KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) terlibat secara langsung dalam Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan Ahad ini, bagi membantah loji Nadir Bumi oleh Lynas Advanced Materials Plant.


Presiden SMM, Ahmad Syukri Abd. Razab berkata, SMM bukan sekadar memberi sokongan kepada penganjur, malah akan turun bersama-sama bagi membantah projek yang membahayakan nyawa penduduk itu.

“SMM telah mengarahkan wakil-wakil pro-mahasiswa setiap universiti untuk terus memobilisasi mahasiswa di kampus masing-masing.

“Malah, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) telah bersetuju untuk mengerahkan ahli-ahli mereka untuk turun ke Kuantan,” jelas Syukri.

Beliau juga menambah, Pergerakan Belia dan Mahasiswa Demokratik Malaysia (DEMA) mengesahkan akan membawa rombongan menaiki bas dari Lembah Klang.

“Kami menganggarkan lebih 300 mahasiswa dari Lembah Klang yang akan menyertai Himpunan Hijau 2.0 nanti,” ujarnya kepada Keadilandaily.

Sebelum ini, SMM menubuhkan Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat (GMSR), khusus untuk membawa isu ini kepada masyarakat, seperti mengedarkan risalah dan juga memberi penerangan di sekitar ibu kota.


Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI), Ekhsan Bukharee berkata akan bersama-sama hadir di Himpunan Hijau 2.0 Ahad nanti.

Beliau berkata, mahasiswa yang tidak berpeluang ke Kuantan akan berhimpun di pusat membeli-belah Maju Junction untuk menyatakan bantahan.

“Buat masa ini, kami sedang mengadakan ‘road show’ di Kelantan dan Terengganu untuk memberi penerangan kepada penduduk setempat dan juga mahasiswa di sini.

“Kami akan ke Kelantan pada hari esok (hari ini) untuk menyertai Kongres Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR).
Program penerangan akan diadakan di Kota Bharu dan juga Kemaman, Terengganu,” Jelas Ekhsan lagi.

Tiada ulasan: