Jumaat, 17 Februari 2012

Hospital Shah Alam Siap Oktober 2013

Post Pic


SHAH ALAM: Menteri Kerja Raya, Datuk Syaziman Abu Mansor hari ini memberi jaminan pembinaan Hospital Shah Alam yang terbengkalai sebelum ini mungkin dapat disiapkan pada Oktober 2013.

Syaziman berkata dalam tinjauan susulannya ke tapak pembinaan hospital itu, beliau yakin kontraktor baru yang dilantik oleh kerajaan itu dapat menyiapkan kerja terbengkalai Hospital Shah Alam 300 katil itu dalam masa yang ditetapkan.

"Saya hendak maklumkan hari ini, saya buat tinjauan susulan kerana semenjak kontraktor penyelamat dilantik untuk siapkan hospital dan kuarters kediaman jururawat ini.

"Saya dimaklumkan oleh wakil tapak dan konraktor rancangan menepati sasaran yang ditetapkan oleh JKR yang mana mensasarkan hospital ini disiapkan pada Oktober 2013," katanya kepada pemberita selepas melawat pembinaan hospital terbengkalai itu.

Beliau selain itu turut mengingatkan mana-mana kontraktor yang gagal mengikut prosedur dan perjanjian kontrak akan diambil tindakan susulan terhadap mereka.

"Saya menekankan kita tidak boleh melengah dalam sebarang kontrak, " katanya.

Hospital Shah Alam yang berharga RM 482 juta sepatutnya siap pada Ogos 2010, tetapi telah terbengkalai kerana pelbagai masalah teknikal kini diamanahkan kepada Gadang Holdings Berhad untuk menyiapkannya pada Oktober 2013.
“Keperluan hospital ini agak menekan dan saya juga selalu diingatkan oleh Menteri Kesihatan dan Pengarah Hospital Klang bahawa keperluan hospital di Klang kadang-kadang hingga sampai ke maksimum dan terlalu ramai yang menggunakannya,” katanya.

“Untuk itu Kementerian Kerja Raya menghantar pasukan khas untuk membantu kontraktor ini agar dapat disiapkan mengikut jadual dan saya difahamkan pihak kontraktor yang ada mengakui kebanyakan keputusan-keputusan yang mereka perlukan oleh Jabatan Kerja Raya dapat diputuskan di tapak pembinaan maknanya tak perlulah hendak balik ke pejabat dan mesyuarat sebagainya kerana pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk projek ini merupakan pegawai-pegawai yang ada pengalaman,” katanya.

Beliau, dalam pada itu, berkata kerajaan juga sentiasa memantau projek-projek yang diberikan oleh kerajaan kepada kontraktor-kontraktor supaya kerajaan dapat mengenalpasti dengan cepat projek yang gagal disiapkan oleh kontraktor mengikut syarat perjanjian kontrak.

“Projek sakit yang ada bawah Kementerian Kerja Raya tidaklah membimbangkan, iaitu daripada 3,128 projek itu, hanya tiga peratus sahaja projek yang dilaporkan saakit,” katanya.

Sementara itu ditanya pemberita berhubung permintaan penduduk Kajang agar kutipan tol di Plaza Tol Batu 11, Lebuhraya Cheras-Kajang dihapuskan, Syaziman berkata ianya masih di peringkat kajian kerajaan.

“Grand- Saga dalam peringkat penghujung, saya akan tengok sebaik yang mungkin kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kepada saya “Syaziman, kemukakan cadangan yang baik yang mana boleh membantu rakyat mengurangkan beban bagi mereka yang menggunakan laluan Grand-Saga ini,” katanya.

Beliau selain itu berkata pihaknya sedang mengkaji satu demi satu tol-tol yang bakal ditutup bagi manfaat semua pengguna jalanraya.
Lebuhraya Cheras-Kajang , juga dikenali sebagai 'Lebuhraya Grand Saga' menghubungkan Kuala Lumpur ke Kajang, Selangor Darul Ehsan dan telah siap pada tahun 1999.

Dengan siapnya lebih raya ini, masalah kesesakan yang kronik di Jalan Cheras dapat diatasi. Sebelum itu kesesakan selalu berlalu kesesakan lalu lintas pada waktu puncak iaitu waktu pergi ke pejabat ( 7.00 pagi - 10.00 pagi) dan balik dari pejabat (4.30 petang - 7.00 malam).
Lebuh raya ini dibina oleh sebuah syarikat swasta yang dilantik oleh kerajaan melalui dasar penswastaan pada tahun 1995.

Ketika itu dasar penswastaan negara dapat menyelesaikan banyak masalah kewangan negara. Kerajaan memberi tempoh konsesi untuk puluhan tahun bagi syarikat itu mengutip tol daripada pengguna.

Tiada ulasan: