Sabtu, 7 Januari 2012

Amanah paling besar daulat syariat Allah

Khairul Azlam Mohamad


HULU TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam bahawa amanah yang paling besar adalah menunaikan perintah Allah SWT dengan mendaulatkan syariat-Nya.

Katanya, perintah tersebut pernah dilaksanakan di zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin (III) melalui undang-undang Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk.

(Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi melancarkan buku Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk karangan Ustaz Abu Bakar Abdullah.)

“Kita sedang menyambut 100 tahun Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk yang bermaksud ketekunan dan ketelitian Raja-raja bagi mengadilkan perangai dan akhlak, adalah Undang-undang Diri bagi negeri Terengganu yang digubal dan diluluskan pada tahun 1911.

Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk dan Batu Bersurat adalah menunaikan amanah dan yang terbesar dalam menunaikan amanah itu ialah menunaikan perintah Allah Ta’ala. Bagi mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah SWT, yang ditunaikan oleh nabi-nabi dan rasul,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perasmian Sambutan 100 Tahun Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu, malam tadi.

Turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

“Ini (Islam) bukan main-main. Para pendakwah Islam yang datang ke alam Melayu bukan Islam sekadar mengucap dua kalimah syahadah, bukan Islam yang didaftarkan di Pejabat Agama, bukan sekadar Islam baka dan keturunan. Islam yang dibawa ke alam Melayu adalah Islam orang, Islam negara dan kerajaan.

“Maka, hukum Islam diamalkan. Di atas ‘Batu Bersurat’ dicatit undang-undang jenayah, undang-undang hudud, undang-undang muamalat yang disebut dalam al-Quran dan Hadis SAW. Diamalkan di Melaka dan di negeri-negeri Islam di alam Melayu ini,” jelasnya di hadapan hampir 10,000 hadirin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, ‘hilangnya’ amanah tersebut setelah kedatangan penjajah menakluk negeri-negeri orang Islam.

Waktu itu, katanya penjajah barat datang dan menakluk negeri dengan kelemahan orang Islam sendiri di seluruh dunia.

“Mereka lagakan orang Islam dan pecahkan orang Islam, pecahkan bangsa-bangsa orang Islam dan mereka berjaya menakluk dan menjajah negara orang Islam. Sejak itulah Islam tidak berdaulat dan berkuasa lagi,” ujarnya.

Sempena majlis tersebut, Presiden PAS turut melancarkan buku Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk karangan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Tiada ulasan: