Selasa, 24 Januari 2012

250 juta guna weibo

MALAYSIA CHRONICLE



BEIJING- China kini mempunyai lebih 500 juta pengguna Internet dan lebih separuh daripadanya menggunakan weibo, blogmikro yang menyamai Twitter yang dapat memintas badan penapisan negara itu, lapor data kerajaan, semalam.

Weibo yang menjadi platform popular untuk orang ramai meluahkan kemarahan terhadap ketidakadilan atau rasuah dan mengendali serta menyebarkan berita mengenai bantahan, menimbulkan cabaran kepada usaha kerajaan untuk mengawal informasi.

Hampir 56 juta rakyat China, hampir menyamai populasi Britain, menggunakan Internet buat kali pertama pada 2011, mencatat populasi Internet negara itu kepada 513 juta. China mempunyai lebih ramai pengguna Internet berbanding negara lain di dunia. Peningkatan bilangan pengguna menggunakan weibo amat dramatik, angka daripada Pusat Maklumat Rangkaian Internet China menunjukkan ia melonjak kepada 250 juta daripada 63 juta pada akhir 2010.

“Pihak berkuasa di China semakin bimbang dengan Internet kerana ia adalah medium penyebaran utama dan sangat sukar untuk dikawal,” kata penyelidik Projek Media China yang berpangkalan di Hong Kong, David Bandurski. “Sejak 2005, tumpuan keseluruhan kawalan informasi beralih daripada media tradisional kepada Internet,” katanya.

China kerap menyekat kandungan laman web yang dirasakan sensitif dari segi politik menerusi sistem penapisan meluas yang digelar ‘Tembok Api Besar China’ dan amat bimbang dengan kuasa Internet dalam mempengaruhi pendapat umum. Bagaimanapun, pengguna weibo mampu memintas kawalan itu dengan penghantaran semula informasi atau imej secepat tindakan pihak berkuasa menghalangnya.

Pengguna weibo dipercayai menyebarkan berita mengenai nahas kereta api laju Julai tahun lalu yang membangkitkan kritikan meluas terhadap kerajaan, kebanyakannya melalui Internet dan menimbulkan keraguan mengenai projek mahal itu.- AFP

Tiada ulasan: