Saya seorang rakyat Malaysia bukan beragama Islam. Negara saya sekian lama diperintah sebuah rejim bernama Barisan Nasional yang berideologi etno-nasionalis. Dari kecil, saya dididik supaya menerima sebagai hakikat keadaan masyarakat saya yang majmuk memerlukan pengorbanan daripada semua golongan, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari kumpulan minoriti. Sesiapa yang cuba mengubah hakikat ini, saya diberitahu, ialah penderhaka yang ingin merosakkan kemakmuran masyarakat berbilang bangsa dan agama ini.
Negara saya unik, kerana rakyatnya, walaupun berbeza kepercayaan, bersikap sederhana dan saling hormat-menghormati. Pemimpin kita tidak pernah leka. Mereka gemar memperingatkan kita tentang detik hitam peristiwa Mei 13 1969, semasa rakyat berpecah-belah. Kata mereka, semua itu sudah berlalu dan harus diambil sebagai iktibar dalam perjalanan kita menuju masa depan yang lebih aman, lebih sentosa. Tetapi kita disaran berwaspada, jangan biar mereka yang ingin memecah-belahkan anda mengancam keselamatan negara. Kerana, di bawah perancangan dan pengaturan pemimpin kita yang arif lagi bijaksana, rakyat boleh hidup senang. Maka, saya pun boleh tidur lena.
Namun, tiap kali saya terbangun, saya berhadapan dengan ribuan persoalan. Antaranya, di manakah duit rakyat dibelanjakan semasa saya terkantuk? Kenapa ramai lagi rakan-rakan saya yang tak bersekolah? Sebab apakah pemuda di desa tak kerja? Sementara kelas kapitalis menjadi kaya-raya, apakah nasib ribuan lagi yang papa kedana? Harga barang yang naik, kenapa tidak diikuti gaji yang naik? Mereka yang kelaparan, mengapa tidak diberi makan? Mereka yang sakit, mengapa tidak diberi ubat? Mereka yang tiada tempat tinggal, mengapa masih diusir? Mereka yang ingin bersuara, mengapa masih tidak didengari?
Lantas, soalan-soalan tersebut hilang relevannya kerana pemimpin memerintah supaya rakyat bersatu melawan musuh kita. Musuh kita tiada rupa, tiada wajah. Tapi dia bernama. Namanya seringkali berubah; "sosialis", "komunis", "anasir Barat", "Yahudi", "pendatang", "pelacur", "peliwat", "kafir", "Bersih", "Hindraf", "pembangkang", "penindas Melayu", "pencabar Islam" dan sebagainya. Namun, tujuan musuh kita tetap dan tidak berubah, mereka yang cemburukan kejayaan kita akan berusaha menghuru-harakan negara kita. Mereka yang tidak memahami keunikan kita akan cuba menghilangkan tradisi dan kepercayaan kita. Rasa takut, tidak tentu, dan keliru pun menyelubungi tanah ini. Penyelesaiannya? Pemerintah akan bersorak, "Mari kita perkasakan gagasan 1Malaysia! Hak anda untuk berasa selamat terjamin di bawah pimpinan saya!"
Cukup menyedihkan apabila wacana politik tanahair dikuasai kekeliruan kerana mereka yang menguasai media massa dan saluran-saluran maklumat jugalah mereka yang terus memegang kuasa politik negara saya. Baru sahaja rakyat sedar buat seketika; baru sahaja anak-anak Malaysia turun ke jalan raya, kini kita sekali lagi diseret masuk dunia gelap. Dalam masa beberapa bulan sahaja, saya diberitahu komunis masih ada dalam masyarakat kita dan undang-undang Hudud akan digunapakai sekiranya pemimpin Barisan Nasional hilang kuasa. Apakah saya akan terlena dalam buaian yang dijamin Barisan Nasional lagi?
Saya terfikir saat kita sebagai satu rakyat bangkit melawan ketidakadilan. Mengapa tidak teruskan semangat waktu itu? Pada ketika pemerintah gunakan propaganda, perjuangan rakyat perlu disemarakkan lagi, kerana itulah penentu takdir negara kita dan bukan kekeliruan yang berasaskan dasar pecah dan perintah. Pada saat kesatuan kita cuba dipecahkan lagi oleh kelas pemerintah yang ingin terus berkuasa, menjadi penting untuk kita kukuhkan semula komitmen perjuangan rakyat supaya penindasan diberhentikan dahulu.
Jadi, di manakah titik mula kontroversi terkini? Di manakah pula noktah akhir pergelutan antara yang mahukan Hudud dan mereka yang tidak?
Seorang kolumnis dalam akhbar Berita Harian 4 Oktober 2011 menulis, "Kita sudah tentu menyedari bahawa undang-undang hudud ini menjadikan Islam sebagai pusat hentaman pihak pejuang hak asasi seluruh dunia. Bukan kerana buruknya hukuman hudud, tetapi kerana kedangkalan pengetahuan mereka mengenai Islam dan syariatnya."
Tidak dinafikan, saya agak dangkal mengenai Islam. Tetapi, harapan saya sebagai seorang anak bangsa Malaysia adalah supaya kita boleh berubah menjadi sebuah masyarakat yang berasaskan kepercayaan yang sama dalam prinsip-prinsip keadilan dan kebebasan sejagat. Kita harus bersetuju untuk menjadi masyarakat yang lebih berkemanusiaan. Tanpa idealisme sebegitu, apakah makna slogan perubahan yang dilaungkan? Apakah perubahan yang benar-benar diperlukan segera juga?
Situasinya bagi saya begini, atas nama Hudud dan undang-undang Islam, suatu peluang dihasilkan untuk menjadikan Pakatan Rakyat bertelagah. Senjata Barisan Nasional melawan agenda perubahan cukup mudah, pecah dan perintah melalui ancaman, ketakutan dan kekeliruan. Golongan bukan Islam berhadapan dengan dilema palsu, kerana seolah-olah terpaksa memilih antara Hudud dengan tiada Hudud. Dalam keadaan demikian, di manakah harapan untuk saya?
Adakah mereka yang masih menantikan kebebasan daripada penindasan perlu menunggu lebih lama lagi? PAS boleh buktikan "PAS untuk semua" bukan kata-kata sahaja. Untuk agenda perubahan rakyat berjaya, PAS perlu bersedia melibatkan semua anak Malaysia dalam agendanya. Sama juga dengan DAP, sekaranglah masa untuk menunjukkan retorik yang lebih inklusif supaya sempadan-sempadan palsu yang didirikan Barisan Nasional boleh direntasi.
Kontroversi Hudud muncul kembali pada waktu genting sebelum Pilihanraya Umum ke-13, mengapa? Pastinya, PAS dan DAP kenal taktik Barisan Nasional. Akhbar bahasa Melayu, Cina, dan Inggeris masing-masing mendorong pembaca mereka hilang kepercayaan terhadap Pakatan Rakyat. Penulisan Bahasa Melayu arus perdana cenderung melabel DAP sebagai anti-Islam. Manakala penulisan Bahasa Cina arus perdana melabel PAS sebagai extremis. Justeru, kedua-dua parti berkongsi satu ciri, iaitu mereka bersifat keterlaluan. Sementara mereka berbalah, Barisan Nasional terus bertopengkan 1Malaysia, tanpa perlu menangani percanggahan dan kontradiksi yang wujud dalam gabungan mereka sendiri.
Oleh itu, perselisihan PAS dan DAP tiada gunanya selain menghalalkan dasar pecah dan perintah Barisan Nasional, bahkan memaksa rakyat terima pemerintahan parti bersifat perkauman atas alasan rakyat Malaysia tidak mungkin menemui konsensus dalam Pakatan Rakyat.
Ancaman dan kekeliruan adalah taktik biasa bagi mereka yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Sesungguhnya, Malaysia kini di ambang perubahan. Tentunya, mereka yang menerajui misi ini juga perlu mencari persetujuan demi mewakili suara rakyat yang sebenar.
Tidak cukup sekadar menolak kebimbangan mereka yang menentang gunapakai Hudud, PAS perlu melibatkan semua dalam pembentukan persetujuan baru. Tidak cukup sekadar mengancam untuk letak jawatan, DAP pula boleh mendekati Hudud secara inklusif supaya tidak, dengan sewenang-wenangnya dicop "dangkal mengenai Islam".
Lebih penting lagi, pejuang perubahan harus kembali memfokuskan perjuangan demokrasi. Kerana di antara Malaysia, Hudud dan saya, perkara yang perlu dijadikan paling asas ialah keadilan dan kebebasan.
*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
Sabtu, 8 Oktober 2011
Malaysia, Hudud dan saya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan