Isnin, 10 Oktober 2011

Hudud: Keluar mulut harimau masuk mulut buaya?

Jasbant Singh

ULASAN Syabas Pakatan Rakyat kerana berjaya menangguhkan brantakan yang mungkin melumpuhkan gabungan tiga parti itu berhubung isu hudud. Kelibat amalan demokrasi terbayang daripada tindakan Majlis Pimpinan Tertinggi kerabat Pakatan Rakyat minggu lalu.

NONENamun persoalan yang timbul ialah, apakah penangguhan untuk mengambil tindakan tuntas terhadap isu itu benar-benar membayangkan anutan dan komitmen setiap anggota gabungan tiga parti itu terhadap jiwa dan semangat demokrasi tulen?

Ketua umum PKR merangkap pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa mesyuarat itu menghormati hak DAP untuk menentang cadangan PAS melaksanakan hukum hudud ke atas orang Islam di Kelantan.

Pada masa yang sama, katanya, mesyuarat juga menghormati hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud apabila kekangan perlembagaan negara yang tidak mengizinkan pelaksanaanya kini dapat dileraikan.

azlanPendek kata, pimpinan Pakatan mahu menangguhkan pertembungan dua pandangan berbeza kerabatnya sehingga selepas pilihanraya umum ke-13; jika Pakatan itu berjaya menumbangkan Umno-BN nanti.

Makna, sehingga kini masih belum ada keputusan mutlak dan falsafah yang jelas Pakatan dalam isu ini.

Pasti dikhianati

Justeru itu wajarkah Pakatan meranduk cabaran pilihan raya umum ke-13 tanpa pendirian tegas terhadap isu sensitif ini?

Yakinkah rakyat bahawa perpecahan Pakatan (yang diharapkan oleh Umno-BN akan berlaku sebelum PRU 13 ini), tidak akan berlaku selepas ditakdirkan ia menakluki Putrajaya?

Jika itu berlaku selepas Pakatan diberi kepercayaan memerintah negara, tidakkah kesannya adalah lebih parah dan berbahaya? Harapan rakyat yang mahu perubahan melalui Pakatan sudah pasti dikhianati.

azlanRakyat perlu kepastian! Penangguhan itu boleh dianggap satu dalih.

Dalam membuat keputusan besar seperti menukar kerajaan, rakyat mahu setiap peserta sayembara politik negara mempunyai pendirian yang jelas dan tegas seperti dalam isu hudud ini.

Pakatan tidak boleh menganggap ini perkara remeh. Sudah pasti rakyat tidak mahu keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

Gelagat politik kerabat Pakatan yang selama ini belum dapat meyakinkan rakyat bahawa demokrasi tulen benar- benar diamalkan oleh mereka itu. Pelbagai rungutan mengenai pelanggaran lunas demokrasi dalam ketiga-tiga parti itu sampai ke pengetahuan rakyat.

NONEPeraturan satu ahli satu undi dan hak setiap ahli memilih pemimpin hingga ke peringkat tertinggi yang mula dipraktikkan oleh PKR tahun lalu masih meninggalkan banyak persoalan berhubung kesungguhan politik parti di bawah naungan Anwar Ibrahim itu.

Khabar tentang bagaimana presiden parti itu menolak petisyen Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu dan desakan Biro Politik PKR mahu menteri besar Selangor digantikan kerana enggan melaksanakan keputusan parti, amat menggusarkan rakyat.

Persoalannya, bolehkah PKR menghidupkan demokrasi apabila memerintah Malaysia kelak?

NONEJika keputusan majoriti pimpinan parti sendiri tidak dihormati bagaimana Anwar dan Wan Azizah akan dapat meleraikan tuntutan DAP dan PAS dalam kemelut hudud?

Rakyat mahu kepastian.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Jasbant Singh adalah seorang wartawan dan editor yang berpengalaman luas. Pernah berkhidmat di TV3 dan kemudiannya dengan stesen televisyen antrabangsa Al-Jazeera. Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan TV Selangor sebelum meninggalkan organisasi itu bulan lalu.

Tiada ulasan: