(Kolumnis Nota Utara, Harakah)
Di bulan Ramadhan yang mulia, di waktu seluruh Iblis dan syaitan dirantai, umat Islam sepatutnya menjadi lebih baik dan berhikmah dalam sebarang tindakan berbanding di luar lingkungan Ramadhan.
Saya tertanya apa rasionalnya, Pemuafakatan Warisan Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak) menghantar mangkuk tandas, berus jamban dan penyapu ke pejabat Meneri Besar Selangor, kononnya sebagai membantah tindakan Abdul Khalid memohon maaf kepada pihak Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya sebelum ini.
Negara pernah digemparkan dengan tindakan pihak tertentu menghantar kepala lembu ke pejabat SUK Selangor. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pernah dikirimkan dengan kek hitam, jambangan bunga hitam, coli dan seluar dalam wanita.
Semua tindakan tidak berapa siuman itu dilakukan oleh NGO yang berwalak (tunduk dan patuh) kepada arahan UMNO. Semua tahu mereka adalah rangkaian UMNO, melakukan tindakan provokasi untuk kepentingan UMNO dan bertujuan memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat.
Persoalan besarnya ialah dalam semua isu berbangkit itu nama ‘Islam’ dilibatkan; kononnya kerana kuil lebih diutamakan dari masjid, kononnya umat Islam ditindas di Pulau Pinang dan kononnya kristianisasi tidak disekat.
‘Islam’ dijadikan alat meyalakan sentimen dan membakar semangat orang Melayu/Islam di negara ini tetapi melalui tingkah laku yang langsung tidak menampakkan akhlak Islam.
Kristianisasi adalah isu yang melibatkan aqidah dan maruah Islam. Maruah Islam musnah jika orang Islam sewenang-wenangnya keluar agama.
Tapi apakah kerana kononnya mahu mempertahankan maruah Islam kita melakukan penghinaan melampau terhadap saudara seagama dan memburukkan imej Islam melalui tindakan macam orang terencat akal. Siapa yang paling gembira kalau bukan musuh Islam?
Apabila JAIS dan Dato’ Dr. Hassan Ali menyerbu gereja DUMC kerana penganjuran majlis yang melibatkan penyertaan 12 orang Islam ia adalah tindakan wajar.
Ia adalah langkah penguatkuasaan berdasarkan enakmen yang ada untuk memelihara maruah umat Islam. Mana boleh orang Islam ‘berbuka puasa’ di gereja? Buruk benar, bunyinya.
Terlintas barang sepicing dalam hati untuk mengakui kebesaran Kristian apabila berada dalam gereja, maka hancur leburlah iman. Bukan sahaja pesan-memesan dan dakwah, penguatkuasaan juga perlu dalam Islam.
Tindakan Hassan Ali boleh mengingatkan umat Islam jangan secara mudah jatuh hati dengan gereja dan pihak penganjur supaya jangan dengan mudah juga menganjurkan acara untuk umat Islam di gereja.
Langkah itu tidaklah menyelesaikan masalah aqidah umat Islam yang sentiasa terancam. Kumpulan orang Islam itu sendiri yang terhegeh-hegeh masuk ke gereja, bukan dipaksa dengan muncung pistol oleh pihak penganjur.
Sepatutnya ada umat Islam yang bertanggungjawab untuk menginsafkan kumpulan longgar iman itu supaya jangan menjual Islam dengan sekampit beras, macam orang Melayu menjual undi kepada BN dengan sekilo gula.
Masalahnya pihak yang diharapkan melakukan kerja dakwah itu terlalu sibuk dengan kerja bukan dakwah.
Tapi sekurang-kurangnya tindakan Dato’ Hassan Ali dan JAIS dapat mengurangkan bencana murtad. Mereka mesti disokong dalam menunaikan tanggungjawab tersebut.
Masalahnya dalam negara yang bernama 1Malaysia ini, isu agama tidak boleh ditangani dengan agresif macam polis menanganai himpunan Bersih.
Setakat apa yang dibuat oleh JAIS itu sudah memadai, selanjutnya adalah tanggungjawab pemimpin kerajaan, pemimpin politik serta semua pihak yang terbabit duduk semeja mencari penyelesaian. Itu kaedah manusia bertamadun.
Masalah yang timbul ialah pihak UMNO yang semakin kemaruk sokongan rakyat nampak ada peluang untuk dipolitikkan. Lalu bermulalah operasi mengasah batu api.
UMNO melontarkan serangan fitnah terhadap PAS tidak semena-mena. PAS tidak pernah mengeluarkan barang sepatah perkataan menyalahkan tindakan Hassan Ali tapi PAS dituduh tunduk kepada DAP.
PAS dimarahi kerana tidak bangkit secara besar-besaran menghentam pihak gereja. PAS dipersalahkan kerana mahu mendapatkan penjelasan dari JAIS dan pihak gereja. Bagi UMNO, PAS tidak harus berdailog dengan pihak gereja.
Apakah bagi mereka cara mengatasi masalah murtad ialah dengan PAS mengasah pedang melancarkan perang jihad terhadap pihak kristian?
Persoalan besarnya, ikhlas sangatkah UMNO memperjuangkan isu murtad? Berkali-kali PAS membangkitkan isu murtad di Parlimen, UMNO buat tak peduli.
Apabila Dr. Puad Zarkhasi mencadangkan keperluan wujudnya undang-undang murtad, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob memulangkan paku buah keras. “Saya bercakap mengenai pengalaman peribadi kerana dalam sidang Parlimen yang bermula Mac 2006, saya mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan undang-undang murtad. Rang Undang-undang itu bukan sahaja tidak dipedulikan oleh Ahli Parlimen UMNO tapi ditolak mentah-mentah,” ujar Salahuddin.
Sekarang adalah musim di mana UMNO akan bercakap apa sahaja bagi menampakkan merekalah pejuang Islam dan Melayu. Merekalah golongan anti murtad, anti pluralisme, anti hiburan, anti arak dan judi, anti maksiat dan menjadi pembela Islam yang sejati.
Semua itu langkah terdesak setelah mereka berputus harapan dengan undi bukan Melayu dalam pilihanraya.
Bagi UMNO pilihanraya ke 13 adalah segala-galanya. Alang-alang sudah ditolak bukan Melayu, maka biarlah usaha meraih undi Melayu dibuat ke tahap maksima. UMNO mengira bahawa undi Melayu masih boleh dibeli dan dimanipulasi.
Betul atau tidak tindakan ‘melakukan apa saja’ untuk meraih undi Melayu itu hanya dapat dilihat selepas PRU ke 13 nanti, sama ada mereka kekal berkuasa atau UMNO terus pupus dari muka bumi Malaysia. Dalam sejarah politik tanahair, inilah kali pertama BN cuba untuk memenangi pilihanraya tanpa undi Cina.
Alhamdulillah dalam apa jua isu mutakhir ini, PAS tampak rasional dan bijak dalam merungkaikan isu. Sebaliknya UMNO yang nampak gelojoh dan biol.
Tugas PAS sangat besar kini untuk menggantikan UMNO. Di samping tugas berat PAS membersihkan imej Islam yang dirosakkan oleh mangkuk jamban UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan