Jumaat, 12 Ogos 2011

Pembangunan tanah: Model rasmi kerajaan vs Cara tradisional rakyat

Wong Meng Chuo


Komuniti kaum asli Sarawak agak resah secara umumnya apabila diperkenalkan konsep bank tanah (land bank concept) pada awal tahun 1990-an. Mereka bimbang cara penerokaan tanah bakal mengakibatkan mereka kehilangan hak adat. Untuk memastikan model pembangunan ini boleh dilaksanakan, kerajaan Barisan Nasional mula menyebarkan propaganda untuk meyakinkan rakyat, agar menerima pembangunan "dari atas ke bawah" ini. Antara yang paling dipertikaikan ketika itu adalah "siapa yang dimanfaatkan" dari program tersebut.

Wakil rakyat yang berkenaan berkata kepada pengundi desa, mereka menyertai "Joint Venture Corporation" tersebut dengan "tanah" sebagai sahamnya. Maka mereka tidak perlu membanting tulang berkebun, dan hanya perlu menunggu dividen syarikat. Peserta projek adalah pemegang saham, dan akan menjadi jutawan selepas beberapa tahun.

Program ini kononnya mengambil pengalaman daripada Australia, iaitu mendefinisikan "penyelesaian pembangunan tanah yang dikenalpasti pakar" itu sebagai "konsep baru". Rakyat diminta untuk menyerahkan tanah adat mereka, dan memegang 30% saham berikutan daripada itu; Land Custody Development Authority pula memegang 10% saham; dan 60% selebihnya adalah modal yang dilaburkan pemaju.

Pulangan yang sedikit


Pada asalnya, peserta program ini dijanjikan dividen selepas tiga tahun, apabila kelapa sawit berhasil. Namun, peserta fasa pertama di Kanowit hanya memperolehi dividen buat kali pertama selepas 12 tahun, iaitu pada tahun 2008. RM1.39 juta diagihkan kepada 1,369 keluarga yang memiliki tanah adat seluas 20,000 hektar. Secara puratanya, setiap keluarga memperolehi RM84.60 setiap tahun. Seandainya dikira mengikut keluasan tanah, secara puratanya sehektar tanah memperolehi RM69.60, iaitu RM5.80 setiap tahun.

Kesudahan ini jauh dari kekayaan yang dijanjikan seawalnya, malah telah mengeksploitasi kemampuan sara hidup orang asli yang berhubung rapat dengan tanah. Upah sesetengah pekerja ladang amat sedikit, dengan upah harian antara RM12 hingga RM15 - sepanjang 10 tahun ini. Lebih-lebih lagi, bukan setiap hari mereka dapat bekerja, biasanya hanya 15 hari bekerja setiap bulan. Kini, peluang pekerjaan ini kebanyakannya diambil-alih pekerja asing.

Sebagaimana yang diketahui, harga pasaran minyak kelapa sawit agak baik untuk beberapa tahun ini. Apakah masalahnya berpunca daripada pengurusan Joint Venture Corporation, dan institusi rasmi yang mewakili pemilik tanah adat tidak membela kepentingan pemegang sahamnya? Apakah pentadbiran yang tidak telus ini boleh menipu komuniti minoriti dengan cara sedemikian? Persoalan-persoalan ini mencerminkan kepincangan kerajaan yang menyeleweng dan korup.

Kita tidak sukar untuk mendapati produktiviti "joint venture" yang rendah seandainya berpeluang untuk mengunjungi ladang-ladang yang diusahakan itu. Menurut penduduk tempatan, kebanyakan baja tidak dihantar ke ladang (hilang di tengah-tengah perjalanan) - maka pokok kelapa sawit tidak menghasilkan buah yang baik. Ada pula buah yang berada di tempat yang sukar dipetik, ditinggalkan sahaja di atas pokok. Namun demikian, yang berhormat wakil rakyat pula berulang kali menegaskan bahawa ladang perlu diusahakan secara besar-besaran, malah perlu diuruskan korporat besar - barulah keuntungan diperolehi. Apakah tidak jelas lagi muslihat kerajaan untuk bersekongkol dengan korporat besar?

Seandainya diusahakan dengan prinsip ekologi, ditambah pula pengurusan pertanian yang sesuai, risiko yang dibawa bidang kelapa sawit terhadap masyarakat akan berkurang. Kaum asli yang mengusahakan kebun dengan cara tradisional telah membuktikan bahawa penanaman kelapa sawit secara kecil-kecilan boleh membawa kejayaan.

Kejayaan cara tradisional

Tidak lama sebelum ini, saya telah mengunjungi seorang kawan Iban, Geritu, yang enggan menyertai program joint venture tersebut. Beliau menanam 400 anak pokok kelapa sawit di tanah adatnya. Jarak antara anak pokok lebih jauh daripada jarak yang biasa digunakan dalam ladang. Sementara menunggu anak pokok membesar, beliau menanam juga sayuran, yang cukup untuk keperluan diri, malah boleh dijual di pasar. Pada masa yang sama, pokok buah-buahan juga ditanam, maka pokok yang berlainan jenis ini menyerap bahan mineral yang berbeza dari tanah - kepelbagaian yang wujud saling mengimbangi. Keadaan ini berbeza dengan penanaman ladang dengan sejenis tanaman, yang mana tanahnya menjadi usang dan tidak lagi dinamik selepas pusingan kedua penanaman (60 tahun).

Seorang lagi kawan, Bartho mempunyai 300 pokok kelapa sawit, mengambil keluasan kira-kira 2 hektar. Beliau berkata setiap pokoknya boleh menghasilkan buah setengah ton setiap tahun. Dikira dengan RM670 satu ton, beliau memperolehi keuntungan bersih RM4,000 setiap bulan, setelah menolak kos-kos yang lain. Jelas, produktiviti di kebun lebih tinggi, malah tidak membazir. Keuntungan yang diperolehi diagihkan secara adil antara pemilik tanah dengan pekerja, membawa kebaikan untuk negara!

Di Machan, kira-kira 30 keluarga di rumah panjang mempunyai kesedaran yang lebih tinggi. Mereka enggan menerima model pembangunan rasmi ini, kerana bimbang hak tanah adat bakal melenyap di bawah "konsep baru" Ini. Mereka meneruskan cara penggunaan tanah yang tradisional, menanam sayuran dan buah-buahan di tepi rumah mereka, malah menanam padi, lada hitam, getah dan sebagainya di tanah adat yang berlainan.

Kini, pilihan mereka terbukti tepat. Bukan sahaja mereka mampu menyara hidup diri, malah mereka boleh mengedarkan hasil tanaman mereka ke pasar yang berdekatan, menggunakan kemudah jalan raya. Ketika harga hasil pertanian meningkat, misalnya getah - sepasang suami isteri mampu memperolehi pendapatan setengah bulan pekerja ladang, dalam tempoh setengah hari. Lebih penting, pendapatan mereka dipelbagaikan, memberi jaminan ekonomi kepada mereka. Apabila harga getah menurun, mereka masih mempunyai pendapatan dari tanaman yang lain.

Malaysian Palm Oil Board kini sedang membantu pekebun kecil untuk mendapatkan subsidi anak pokok kelapa sawit dan subsidi baja, maknanya mereka sudah mengiktiraf sumbangan aktiviti pekebunan daripada inisiatif rakyat. Apa yang dikesalkan, kerajaan Barisan Nasional di Sarawak masih secara keras melaksanakan dasar pembangunan tanah ala "atas ke bawah" - yang amat membinasakan alam.

*Wong Meng Chuo ialah aktivis alam sekitar di Sarawak. Diterjemah dan disunting dari artikel yang disiarkan di kolum MerdekaReview, edisi Cina.

Tiada ulasan: