Rabu, 24 Ogos 2011

Menangani riddah jangan bermusim

Mohd Syahir Sulaiman

“..Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu Agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam agama bagimu..” (Al-Maidah: 3)

Ramadhan 1432 nyata tidak sepi dengan mehnah dan cabaran yang menguji tahap keimanan, demi mengejar martabat taqwa yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. dalam pensyariatan ibadah puasa.

Dimulakan dengan landskap BERSIH 2.0 di penghujung bulan Syaaban yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang dambakan agenda Islah dalam sistem demokrasi negara, keheningan di awal Ramadhan terusik dek polemik operasi JAIS di Gereja Methodist Damansara Utama yang mengundang perdebatan yang tidak sudah.

Bukanlah hasrat penulis untuk menilai nawaitu dan fe’el golongan pemimpin yang memperlihatkan kenyataan dan reaksi yang pelbagai, sekadar ingin berpesan supaya tidak menjadikan wadah media sebagai medan menghukum dan menuding jari dalam persoalan aqidah ummah, tanpa usul periksa dan bukti yang kukuh sehingga mencemar kemurnian peribadi dan jatidiri sendiri.

Sebagaimana di dalam berpuasa kita diajar akan nilai ketaatan, kepercayaan dan pengharapan kepada Allah, begitulah juga setiap perintah dan larangan oleh Allah, perlu dijunjung dengan sepenuh hati, tanda suci dan murni aqidah kita.

Adapun agenda mempertahan aqidah ummah, bukanlah agenda bermusim. Ia memerlukan pendekatan komprehensif dan komitmen yang berterusan, tidak cukup dengan hanya slogan dan teriakan yang tidak membawa apa-apa makna.

Kesungguhan PAS memelihara aqidah ummah secara komprehensif terbukti daripada inisiatif penubuhan Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (Pasti) yang mengasuh penerapan nilai-nilai agama seawal usia mula mengenal mana yang baik, mana yang buruk.

Hasil didikan pra-sekolah di Pasti, penulis mula mengenal Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Kami diajar mengenal Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin paling agung, bersama 25 rasul dan nabi ikutan ummah. Kami diajar mengenal Alif-Ba-Ta di samping bertatih mengeja A-B-C. Kami diajar Wahid-Ithnain-Thalatha disamping bersifir 1-2-3.

Kami diajar melakukan solat 5 waktu, sempurna dengan yang rukun dan sunat, tiada berani ditinggalkan walau 1 waktu.

Kami diajar menghafal dan mengalunkan surah-surah ringkas, bacaan solat, doa-doa, dan nasyid yang memuji Tuhan, tiada nyanyian yang melalaikan.

Kami dilatih dengan pemakaian yang menutup aurat, pelajar lelaki segak berbaju melayu hijau berkopiah putih, pelajar perempuan anggun berbaju kurung hijau dan bertudung putih, tiada seluar pendek mahupun
skirt singkat.

Kami dididik mengenal ketokohan Khulafa ar-Rasyidin dan ilmuan Islam seumpama Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, dan Ibnu Khaldun, sebelum kami mengenal Newton dan Einstein.

Ternyata, benih yang diasuh di Pasti, sebuah institusi yang ditubuh dan dikelolakan oleh Dewan Pemuda PAS, berjaya menghasilkan generasi yang kenal dan patuh pada Tuhan. Sistem pembelajaran di Pasti berjaya melahirkan golongan celik Al-Quran dan celik agama, menjadi benteng penyelamat aqidah seawal usia mula mengenal makna.

Dalam usaha memartabatkan Islam, PAS didokong dengan kuatnya oleh para Ulama’. Golongan ulama’ yang mendalami ilmu agama secara syumul, menggalas amanah pewaris Nabi, senantiasa istiqamah sejak zaman berzaman memupuk dan meningkatkan kesedaran

Islam di kalangan ummah. Allah berfirman, “…sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun” (Fathir: 28).

Partisipasi PAS dalam politik tanahair dan antarabangsa, tidak pernah tergelincir dari paksi aqidah, sedari zaman kebangkitan penentangan penjajah hinggalah ke zaman teknologi alam maya. Peristiwa pembelaan Natrah, syuhada’ Memali, dan kejayaan pemerintahan PAS di Kelantan sejak 1990 adalah sebahagian monumen manifestasi istiqamah dan komitmen PAS memelihara kesucian Islam.

Berbalik kepada persoalan semasa, penulis amat bersetuju dengan pendirian PAS dan Dewan Pemuda PAS berkenaan sikap dan peranan kita terhadap kegawatan aqidah ummah pada masa kini. Ini bukanlah masa untuk kita menuding jari mencari siapa yang salah, tetapi ini masa untuk kita menghulur tangan ke arah penyelesaian masalah.

Di dalam ruang yang terhad ini, penulis berasa terpanggil untuk mengetengahkan beberapa cadangan yang agak unik dan tersendiri, di samping beberapa cadangan umum yang dilontarkan dalam menatijahkan solusi kepada permasalahan ini, antaranya:

1. Mendesak kerajaan menukar kembali cuti hari Ahad kepada hari Jumaat seperti di negeri Johor dan Perlis sebagai hari kebesaran ummat Islam (Nasrudin Hassan, 14 Ogos 2011) – Penulis sebagai anak kelahiran Negeri Serambi Makkah sangat mengalu-alukan cadangan ini untuk dilaksanakan, natijah daripada kesibukan di pejabat dan perlu bergegas melepasi hiruk-pikuk kota untuk ke masjid untuk menunaikan fardhu Jumaat, yang pastinya menjejaskan penumpuan kepada khutbah yang disampaikan.

Medium khutbah adalah besar nilainya di sisi Islam dan mampu menjadi wadah penyatuan pemikiran dan perpaduan ummat Islam, dek kealpaan mengejar kesibukan dunia sepanjang minggu.

2. Kami menuntut supaya semua pihak yang pernah terlibat merobohkan institusi-institusi Islam termasuklah meruntuhkan institusi pendidikan Islam, masjid dan surau memohon maaf kepada seluruh ummat Islam di Malaysia disebabkan tindakan-tindakan mereka inilah yang telah mendorong agama Islam tidak dihormati (Sidang Meja Bulat NGO Islam, 13 Ogos 2011)

Penulis tidak perlu mengulas lanjut di sini, cukup sekadar memetik peringatan Allah, “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu).

Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar." (Al-Baqarah: 114)

3. Mendesak supaya pihak berkenaan dan berwajib membuat tambahan pegawai agama di semua sektor agar dakwah Islam dapat digerakkan secara sistematik dalam negara kita (Nasrudin Hassan, 14 Ogos 2011) – Idea ini bersifat serampang dua mata; mendekatkan (engagement) agensi kebajikan dan agensi agama terhadap golongan memerlukan, dan memberi peluang pekerjaan (employment) kepada lulusan agama. Walhasil, institusi masjid akan berperanan sebagai instrumen dakwah dan kebajikan, hasil mekanisma penyampaian yang dikawal selia oleh pegawai-pegawai yang lebih hampir dan cakna dengan keadaan masyarakat setempat.

Syeikh Abu Hassan Ali an-Nadwi pernah mengungkapkan di dalam risalah beliau yang terkenal, “Riddah La Abu Bakr Laha (Murtad, Tiada Abu Bakar Menanganinya)”, bahawa ummat Islam kini menghadapi ancaman murtad yang lebih merbahaya iaitu fahaman metarialisma yang
datang dari pengaruh Barat.

Justeru, berpandukan ketegasan Saidina Abu Bakar r.a. dalam menangani gejala riddah, maka kita ummat Islam akhir zaman perlulah bersama-sama berganding bahu dalam usaha memelihara aqidah ummah secara bertanzim dan komprehensif, bukannya bermusim.

Marilah, bersempena ruh Ramadhan al-Mubarak, kita tanam azam dan tekad untuk dipilih sebagai pahlawan tentera Saidina Abu Bakar di zaman ini.

Salam ‘Idul Fitri Al-Mubarak.

--------------------------------------------
Penulis adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia. ‘Idul Fitri 1432 akan disambut dengan penuh kesyukuran bertemakan warna kuning, lambang kemuliaan dan kesucian.

Tiada ulasan: