Jumaat, 12 Ogos 2011

Laporan penuh serbu gereja selepas Aidilfitri

Polisi yang terbaik adalah membenarkan Jais masa yang cukup untuk mereka menyiapkan laporan yang lengkap, kata MB Selangor.



SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor berharap laporan berhubung kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu akan siap sepenuhnya selepas Aidilfitri.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri memahami kesulitan yang dialami oleh Jais ekoran 12 individu Muslim yang didakwa menyertai upacara ‘thanksgiving’ itu enggan hadir memberi kenyataan.

Maka beliau menyerahkan perkara tersebut kepada penasihat undang-undang Jais untuk memberikan nasihat, memandangkan beberapa undang-undang diketengahkan oleh peguam yang mewakili 12 individu yang terlibat.

“Laporan terperinci yang kami minta termasuklah hasil siasatan dan soal jawab 12 individu Muslim yang didakwa terlibat serta salinan barang kes yang telah diperolehi hasil dari pemeriksaan. Laporan itu masih belum siap lagi.

“Kami faham mengenai kesulitan Jais malah pejabat Menteri Besar telah menerima surat daripada firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 dari 12 individu Muslim terlibat,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini hari ini.

Beliau yang diasak pertanyaan berhubung perkembangan kontroversi itu menegaskan segala maklumat terperinci akan didedah kepada umum selepas maklumat lengkap diterima daripada Jais.

“Polisi yang terbaik adalah membenarkan Jais masa yang cukup untuk mereka menyiapkan laporan yang lengkap,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Khalid berkata pihaknya sudah berbuat demikian.

Namun disebabkan laporan oleh Jais kurang lengkap maka beliau masih belum memberikan sebarang pandangan berhubung kontroversi tersebut.

Beliau turut mengulangi arahannya agar Exco, pegawai kerajaan dan jabatan kerajaan tidak memberi sebarang kenyataan berhubung kontroversi itu, tetapi ia tidak melibatkan individu, NGO atau pun parti politik.

Bonus 1/2 bulan gaji

Sementara itu, beliau turut mengumumkan inisiatif sama yang dibuat kerajaan pusat untuk memberi bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan kerajaan negeri.

“Kami tak mahu ada diskriminasi sedangkan kerajaan negeri mampu untuk beri bonus berdasarkan kemampuan kewangan kita,” katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri memberi bonus RM500 kepada kakitangan awamnya sempena hari raya, manakala kerajaan pusat melalui

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengumumkan Isnin lalu bayaran bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Asrama Yayasan Selangor

Menyentuh mengenai isu asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan, Khalid berkata perkara itu tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat memandangkan kajian yang dibuat mendapati para pelajar menghadapi masalah dari segi perjalanan ke sekolah-sekolah.

“Perkara ini bukan boleh diselesaikan dalam masa sekejap tetapi akan mengambil masa satu dua tahun. Kajian asrama di Kampung

Pandan sebagai contoh, mendapati para pelajar ini bukan bersekolah di sebuah sekolah sahaja tetapi bertaburan sehingga Petaling Jaya,” katanya.

Maka ujar beliau, penutupan asrama akan dibuat selepas selesai isu asrama dan penempatan para pelajar.

Tiada ulasan: