Subky Latif
|
SUDAH dua minggu Tengku Razaleigh melancarkan penubuhan Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, namun belum diketahui apa kegiatan dan rancangannya.
Ia hanya diketahui dengan apa yang diumumkan pada hari pelancarannya iaitu, ia mahu jadi NGO yang menghidupkan legasi kemerdekaan yang diamanah oleh Tunku Abdul Rahman Putra dan fokas awalnya adalah tentang kepincangan pimpinan Perdana Menteri Najib dan halatujunya. Oleh kerana ia didukung oleh bekas menteri dan timbalan menteri Barisan Nasional serta bekas menteri negeri dan exco, maka tentulah NGO orang-orang politik yang kurang aktif atau sudah tidak aktif itu menarik perhatian. Tetapi selepas pelancarannya ia seperti tenggelam dalam gelombang Tengku Razaleigh dikatakan dilamar kerabat Pakatan Rakyat bagi menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim kiranya politiknya tersekat oleh keputusan mahkamah nanti. Sepatutnya Tengku Razaleigh dan Amanahnya yang boleh meributkan suasana kerana dipercaya akan menjadi pengkritik terbuka dari dalam Barisan Nasional. Apakah ia hanya sekadar menjadi pengkritik bebas atau ia menjadi medan pemberontak penyokong BN yang tidak selesa dengan pimpinan Najib dan kerajaan sekarang? Kemunculan pemberontak dalaman parti dan penyokong kerajaan selalunya mengancam pimpinan ketua kerajaan. Inilah menyebabkan pimpinan Perdana Menteri Margret Thatcher mengakhiri pemerintahan Parti Konservatifnya selama 17 tahun di Britian dan demikian juga yang terjadi kepada Perdana Menteri Tony Blair yang pernah berjaya mengetuai Parti Buruh memenangi tiga kali pilihan raya Britain. Apakah Ku Li dengan Amanahnya akan memulakan gerakan bagi menggantikan pimpinan Perdana Menteri Najib yang dirasakan sebagai ketua kerajaan dan kerajaan Malaysia yang paling bermasalah dan lemah sejak merdeka? Itulah yang ditunggu dan hendak diperhatikannya. Tetapi Amanah seolah-olah telah ditampar oleh bom asap yang di bawa Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang dikira agen Najib yang belum diumumkan menjadi Umno semula. Bom asap itu datang dari penyokong Najib dalam Umno tetapi cetusannya adalah bagi menjaga Umno dari menerima kesan atas politik Ku Li itu. Ku Li lalu ditempelak pernah dirisik oleh kerabat Pakatan Rakyat bagi menjadi penyambung kepada kepimpinan Anwar mara menuju ke Putrajaya kiranya ia berdepan dengan halangan. Apakah ada asas tempelak itu dan adakah Ku Li adalah orang yang berminat untuk mengambil tempat itu adalah menjadi perkara kedua. Tetapi sudah bergelombang atmosfera politik negara gara-gara bom asap bebas Bayan Baru itu. Kerabat Pakatan Rakyat terpaksa bersilat menangkis gas bom asap itu hingga ia mengurangkan sementara kelancarannya bergerak ke Putrajaya. Dengan bom asap itu Ku Li dan Amanahnya tenggelam dalam asapnya hingga menyebabkan orang tidak teringatkan Amanah. Dan Ku Li sendiri senyap seribu bahasa. Dia tidak membuat sebarang respons terhadap bom asap itu dan membiarkan Pakatan Rakyat bersilat menangkisnya. Dan Ku Li dan Amanah juga diam hingga tidak diketahui apa yang hendak dibuatnya bagi memanas jentera programnya. Demam pilihan raya sudah rancak. Bila pilihan raya tidak diketahui. Tetapi ia sudah tidak lama. Dan Amanah tidak boleh lama menunggu untuk membangkit program dan kegiatannya. Mungkin ia belum dibenarkan bergerak selagi tidak didaftarkan. Tetapi Amanah adalah NGO politik yang tidak terikat banyak dengan pantang larang pendaftaran pertubuhan. Dan tempoh bekerja Amanah pun tidak banyak sangat bagi meraih faedah dari suasana dan perkembangan politik kita. Masa yang ada pada Amanah ialah tempoh menjelang pembubaran Parlimen dan sebelum pilihan raya. Apa yang Amanah hendak buat dan hendak capai adalah dari kegawatan yang melanda kerajaan, Umno dan Najib sekarang. Itulah tempoh kesempatan terbaik bagi Ku Li dan Amanah untuk merebut sesuatu. Apabila Parlimen dibubarkan, tidak banyak lagi yang Ku Li dapat buat kerana kedudukannya sendiri pun akan ditentukan oleh keadaan itu. Ku Li tidak boleh banyak kerja lain melainkan menumpukan penuh masa dan tenaga di Gua Musang. Sama ada dia dicalonkan semula oleh BN atau digugurkan, dia terpaksa mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang itu atas apa calon sekali pun. Kalau Ku Li digugurkan, Ku Li terpaksa menumpukan usaha bagi mendapatkan persetujuan Pakatan Rakyat memberi laluan kepadanya. Pakatan Rakyat tidak akan memberi laluan kiranya Ku Li sekadar hendak mempertahankan kerusinya. Apakah PAS pada keadaan demikian memberi konsesi sama seperti yang diberi kepada Ibrahim Ali pada PRU 2008 dulu? Mungkin Ku Li bukan Ibrahim Ali tetapi PAS ada pengalaman yang baik. Masa itu tiada lagi peluang bagi Ku Li bagi mewarwarkan Amanah di luar Gua Musang. Masa bagi Amanah menunjukkan belangnya adalah sekarang. Inilah masa untuk mendedahkan belang Najib dan kerajaannya. Barulah ada erti dan sengatnya pelancaran Amanah itu. |
Jumaat, 12 Ogos 2011
Bila Amanah mahu tunjuk belangnya?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan