Anak sedang membuat persiapan untuk memfailkan saman yang serupa daripada para peneroka di Terengganu dan Johor di samping satu lagi kumpulan dari Pahang.
PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal berdepan dengan tiga lagi saman dari para peneroka berikutan saman yang dihadapinya daripada para peneroka tanah rancangan di Jengka, Pahang semalam.
Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berkata, pihaknya sedang membuat persiapan untuk memfailkan saman yang serupa daripada para peneroka di Terengganu dan Johor di samping satu lagi kumpulan dari Pahang.
Ketika ditanya kenapa kes-kes saman ini tidak diselaraskan di seluruh negara, beliau menjelaskan bahawa setiap tanah rancangan mempunyai masalah yang berbeza seperti tanah yang diteroka pada 1970an dan 1980an adalah tidak sama.
“Kadar perahan gred yang dinilai oleh pihak Felda juga tidak sama kerana ia berdasarkan kepada kilang yang memproses buah kelapa sawit itu,” terang beliau kepada FMT hari ini.
Disamping itu katanya, pihaknya juga akan mengemukakan saman berhubung caruman yang dibuat oleh para peneroka lebih 20 tahun lalu dan belum dibayar balik oleh Felda.
“Caruman ini melibatkan 10,000 peneroka di seluruh negara di mana setiap peneroka sepatutnya menerima kembali wang sebanyak RM1,700 untuk seekar dari sejumlah 10 ekar tanah yang mereka usahakan.
“Ini bermakna Felda berhutang dengan peneroka sebanyak RM17,000 seorang,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah parti itu.
Semalam, harakahdaily melaporkan seramai 711 peneroka tanah rancangan Jengka, Pahang memfailkan saman RM344 juta berhubung dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah.
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui Tetuan Daim & Gamany dengan menamakan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.
Saman itu berhubung penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG) yang diterima mereka sejak 15 tahun lalu.
Peneroka terbabit menerima KPG yang rendah dari nilai sebenar iaitu antara 17 hingga 18 peratus. Mereka sepatutnya memperoleh KPG yang lebih tinggi sehingga boleh mencapai ke tahap 32 peratus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan