Himpunan Bersih pada 9 Julai ini akan tetap diteruskan walaupun berlaku pertembungan himpunan Pemuda Umno dan Perkasa, kata Timbalan Presiden PAS.
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata tiada sebarang ugutan yang diterima setakat ini berhubung penglibatannya dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Tegas beliau, Himpunan Bersih pada 9 Julai ini akan tetap diteruskan walaupun berlaku pertembungan himpunan Pemuda Umno dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
“Setakat ini tiada sebarang SMS ugutan yang saya terima dan segala-galanya akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS disini hari ini.
Sebelum ini Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar memberi amaran keras akan menahan penganjur dan peserta
Himpunan Bersih 2.0 kerana dikhuatiri tindakan itu menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Amaran itu dikeluarkan selepas polis memutuskan tidak meluluskan permit untuk Bersih dan Perkasa yang merancang mengadakan perhimpunan menghalang Himpunan Bersih 2.0.
Pada awalnya sidang media beliau dijadual diadakan di Restoran Yusuf Haslam, Jalan Pahang di sini pagi tadi namun terpaksa ditukar pada saat-saat akhir ekoran mengalami gangguan.
Sementara itu, beliau yang mesra dipanggil Mat Sabu turut merayu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar membenarkan penganjuran Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Malah beliau meminta agar polis dapat mengawal perjalanan Himpunan Bersih tanpa memihak kepada mana-mana pertubuhan parti politik.
Polis perlu bertindak adil
“Polis perlu bertindak adil untuk jaga keselamatan dan jangan buat tindakan yang memihak kepada parti-parti dan NGO (badan bukan kerajaan) tertentu.
“Maka saya merayu kepada polis, Ketua Polis Negara supaya menjaga keamanan dan keselamatan rakyat serta tidak melakukan tindakan keras kepada rakyat yang menuntut demokrasi dan pilihan raya adil dan bebas.
“Saya yakin polis mampu untuk memantau termasuk mengekang pihak-pihak yang cuba melakukan kekacauan dalam perhimpunan aman itu,” katanya.
Ujar beliau, Himpunan Bersih 2.0 akan berjalan dengan aman sekiranya polis bertindak mengawal bukan mengambil tindakan menghalang.
“Kalau kita sampai ke Istana Negara dengan selesa dan baik, semuanya akan berjalan dengan lancar…kita juga akan bersurai dengan baik.
“Keadaan akan jadi tidak elok apabila polis bertindak sembur gas pemedih mata dan air asid, itu yang sebabkan peserta berlari, peniaga terpaksa tutup kedai, peniaga air kena buang air sebab dimasuki air asid.
“Kalau perkara ini tidak berlaku naka saya percaya semua akan gembira, rakyat akan gembira dan peniaga juga akan gembira,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan