Khamis, 2 Jun 2011

Syarat Ketat Untuk Konsert MTV

Ditulis oleh Naeem Raffi



SHAH ALAM : Kerajaan negeri bersetuju penganjuran konsert rock 'MTV world Stage Live' bulan depan di kompleks I-City dengan syarat-syarat ketat termasuk kod pakaian untuk artis, larangan penjualan arak serta memastikan sistem audio yang tidak menggangu penduduk setempat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kelulusan untuk konsert itu diberikan tahun lalu, hasil cadangan yang dikemukakan sendiri oleh Sultan Selangor.

"Ini ialah hasil cadangan Tuanku Sultan untuk adakah satu kawasan yang boleh diadakan aktiviti keusahawanan dan tidak terlibat dengan kawasan bandar Shah Alam yang berhampiran masjid dan Muzium Negeri.

"Bagi saya perkara ini tidak jadi satu masalah untuk MTV jalankan aktiviti mereka. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri menetapkan beberapa sekatan perlu dilakukan terutama keadaban, terutama dari segi pakaian," katanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Khalid berkata penganjur konsert bersetuju menamatkan persembahan sebelum tengah malam manakala penjualan alkohol, rokok dilarang sama sekali.

"Sekatan ini juga menetapkan agar sistem bunyi daripada konsert berkenaan tidak begitu kuat sehingga memberi kesan kepada jiran tetanga di situ,"ujar beliau.

Khalid menjelaskan kelulusan untuk konsert berkenaan selari dengan usaha kerajaan negeri menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti riadah di Shah Alam namun dalam keadaan tertib dan beradab.

Dalam pada itu, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad ketika dihubungi TvSelangor berkata ,pihaknya akur dengan keputusan kerajaan negeri itu namun tetap akan merakamkan pandangan penduduk bersabit konsert itu untuk disampaikan kepada Menteri Besar.

"Kita akan teruskan juga pengumpulan tanda tangan supaya sekurang-kurangnya Menteri Besar mengetahui perkara sebenar iaitu bukan pihak kami yang membantah tetapi penduduk setempat yang berjumpa dengan saya dan menyatakan kawasan itu tidak sesuai,"ujar beliau.

 Khalid berkata aduan utama masyarakat setempat adalah berhubung dengan kesesakan lalu lintas dan bunyi bising setiap kali majlis keramaian diadakan.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Atan sebelum ini menyatakan konsert berkenaan akan mempromosi ibu negeri Selangor di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong berkata pemilihan i-City untuk konsert itu mengharumkan status kawasan itu sebagai "Bandar Cahaya Digital" selain menjadikannya tumpuan pusat riadah yang sihat untuk remaja.

Konsert MTV world Stage Live akan menampilkan kugiran antarabangsa seperti 30 Second To Mars daripada Amerika Syarikat. Ia dijangka menarik lebih 60 ribu penonton.

Tiada ulasan: