Khamis, 16 Jun 2011

Suhakam tubuh Inkuiri Hak Tanah Orang Asli di Sabah

Inkuiri itu akan mengkaji punca sebenar masalah berkaitan hak tanah adat secara menyeluruh dari perspektif hak asasi manusia.



PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menubuhkan Inkuiri Nasional Hak Tanah Orang Asli di Sabah dan menjalankan beberapa siri konsultasi bermula 17 Jun hingga 15 Julai depan.

Sesi konsultasi itu meliputi 24 daerah, di antara lain termasuk Tambunan, Tenom, Nabawan, Pensiangan, Sipitang, Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Ranau dan Papar.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, Suhakam memberitahu inkuiri itu akan mengkaji punca sebenar masalah berkaitan hak tanah adat secara menyeluruh dari perspektif hak asasi manusia dan mengesyorkan langkah penyelesaian yang bersesuaian terhadap masalah tersebut.

Inkuiri ini diterajui oleh Pengerusi Suhakam sendiri, Tan Sri Hasmy Agam. Ia turut dianggotai Pengerusi Jawatankuasa Hak Orang Asal Suhakam Jannie Lasimbang, Muhammad Sha’ani Abdullah, James Nayagam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Suhakam menerima lebih daripada 1,000 aduan berhubung kes pencabulan ke atas tanah adat dengan Sabah mencatatkan aduan tertinggi sebanyak 824 kes antara tahun 2002 hingga suku pertama tahun ini. Ini diikuti Sarawak dengan 229 kes manakala Semenanjung 45 kes.

Bermula dengan kajian, inkuiri yang akan mengambil masa setahun setengah ini menggunakan beberapa penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaya bagi mendapatkan fakta selain melihat dari segi undang-undang, amalan dan prosedur yang melibatkan tanah Orang Asal dan Asli.

Bagi orang awam yang akan mengemukakan sebarang hujahan ketika sesi konsultasi dinasihatkan membawa bukti-bukti-geran, permohonan geran, gambar-gambar, peta dan surat berkaitan.

Orang ramai yang berminat menyertai inkuiri ini boleh melayari laman web www.suhakam.org.my untuk mengetahui tempat sesi konsultasi itu yang akan diadakan di Sabah.

Tiada ulasan: