Khamis, 23 Jun 2011

Strategi MCA di sebalik kenyataan "tak masuk kabinet..."

Lim Yew Chien


Kenyataan Presiden MCA Chua Soi Lek bahawa parti itu tidak akan menyertai kabinet sendainya kalah dalam PRU ke-13 nampaknya digerakkan dalam dua fasa. Untuk fasa pertama, ia lebih ditujukan kepada khalayak di luar parti, iaitu komuniti Cina; dan fasa keduanya pula lebih menyasarkan ahlinya dalam parti.

Pada fasa pertama, kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas PRN Sarawak melabuh tirai. Chua (gambar kiri) pada ketika itu mencadangkan kepada SUPP yang kalah teruk, agar tidak masuk kabinet negeri Sarawak. Kenyataan Chua itu nampaknya dibuat dalam senario ketika itu - mungkin untuk menunjukkan kepada masyarakat Cina keadaannya apabila tiada perwakilan dalam kabinet. Seandainya wujud keadaan di mana kepentingan masyarakat Cina Sarawak terhakis, maka strategi ini dianggap berkesan.

MCA cuba mendapat kesan ugutan terhadap orang Cina dengan risiko SUPP kehilangan sumber lantaran kedudukannya sebagai parti pemerintah. Maka MCA akan mendapat manfaat "apabila Cina sedar (keadaan tanpa perwakilan dalam kabinet)" tanpa sebarang risiko. Ini strategi yang paling berbaloi. Namun demikian, pemimpin SUPP akhirnya mengambil keputusan untuk menyertai kabinet Sarawak, dan apa yang ingin dicaturkan MCA gagal.

Kenyataan ini semestinya mengundang serangan Pakatan Rakyat setelah dikeluarkan. Misalnya, PR menyanggah dengan "MCA tetap mewakilkan Mah Hang Soon (gambar kanan) sebagai EXCO dalam kerajaan negeri walaupun kalah teruk di Perak", dan Chua hanya menuding jari kepada bekas Presiden atas keputusan tersebut. Apa yang menarik, seandainya "mantan" melakukan kesalahan, mengapa tidak orang yang berkuasa sekarang memperbaiki kesalahan tersebut segera? Sekali lagi ia menunjukkan bahawa pendirian ini bukan atas prinsip, tetapi sekadar taktik untuk meraih sokongan.

Chua Soi Lek tidak berhenti sekadar itu setelah dibongkarkan. Ia semestinya bukan kerana pegangan prinsip, tetapi lebih berkemungkinan bahawa senario itu mendesak agar "sandiwara terpaksa diteruskan". Chua adalah Presiden yang menang dengan undi rendah, memerlukan penampilan sebagai orang kuat untuk mengukuh sokongan dalam parti.

Chua tidak kehilangan apa-apa

Congakan yang bermain dalam otak Chua mungkin sebegini: Chua pada asalnya tidak berada dalam kabinet, beliau tetap akan digulingkan seandainya kalah ketika memimpin MCA untuk bertanding dalam PRU 13. Jadi, beliau tidak kehilangan apa-apa dengan kenyataan sedemikian. Mereka yang paling "rugi" adalah mereka yang mahu menggantikan Chua (jikalau MCA mengalami kekalahan teruk dalam PRU 13) atau mereka yang kini berjawatan dan berpangkat.

Percaturan ini langsung tidak mengundang apa-apa risiko untuk dirinya, dan sesungguhnya ia adalah sesuatu yang menyedihkan. Tetapi, apakah reaksi masyarakat Cina pada fasa pertama?

Bahkan penganalisa politik dalam media arus perdana yang cenderung kepada pemerintah pun tidak tersentuh dengan hujah "tidak masuk kabinet" ini, malah ada yang menyampaikan perasaan masyarakat Cina secara berlapik, "Ia adalah ugutan!"

Cyber troopers dalam kem Chua nampaknya juga gagal merencanakan wacana yang kreatif untuk mengolah kenyataan "tidak masuk kabinet" ini. Puncanya, kenyataan ini langsung bukan sesuatu yang baru! Ia adalah versi tiruan "urusan dipermudahkan jikalau ada perwakilan dalam kerajaan", satu slogan yang jelas telah ditolak rakyat, malah ia seakan-akan versi yang lebih rendah darjatnya dengan unsur "melatah". Seandainya Chua masih bermegah dengan kenyataan dirinya itu, ia bermakna Chua telah jauh ketinggalan dari apa yang difikirkan dalam minda masyarakat Cina.

Kenyataan Chua menerima sambutan dingin dalam fasa pertama. Tapi sejak awal orang dalam parti berpandangan sedemikian - hujah Chua ini sebenarnya menyasarkan orang dalam parti, untuk mengelakkan "sabotaj" dari sekta yang berlainan ketika PRU 13. Fasa kedua pula menunjukkan secara jelas niat Chua untuk mengukuhkan dalaman parti. Apakah ia mengalih dari luar ke dalam lantaran sambutan dingin di luar, atau ia strategi untuk menyasarkan orang dalam parti sebermulanya? Saya tiada jawapan untuk soalan ini.

Psikologi pangkat dan jawatan

Fasa kedua kenyataan ini dikeluarkan bukan sahaja terbatas kepada soal sama ada MCA akan masuk kabinet atau tidak, malah merangkumi belasan ribu jawatan dan pangkat di semua peringkat, malah secara berterus-terang berkata bahawa ia adalah supaya ahli mempunyai matlamat yang jelas untuk menghadapi PRU sebulat hati.

Seandainya pemimpin di pelbagai peringkat dalam MCA mahu mengekalkan jawatannya, maka mereka terpaksa bekerja bersungguh-sungguh - atau mereka akan kehilangan pangkat dan jawatan mereka. Jikalau fasa pertama diibaratkan sebagai "ugutan terhadap orang di luar parti", maka fasa kedua adalah "ugutan terhadap orang di dalam parti". Sememangnya, ugutan fasa kedua ini tidak begitu jijik, kerana tidak berkesan seandainya pemimpin dalam parti tidak taksub dengan kuasa.

Teras strategi politik Chua adalah untuk mempergunakan psikologi pemimpin tempatan yang takut kehilangan jawatan dan pangkat. Namun, strategi ini "disolek" dari sebermulanya seolah-olah mereka bukan golongan yang taksub dengan kuasa. Keadaan ini menonjolkan betapa lemahnya tekad MCA untuk mereformasikan partinya. Dan ia juga menunjukkan bahawa dalam persiapan untuk memenangi pilihan raya umum, MCA berada dalam keadaan "yang berpangkat rendah makan yang kecil, dan yang berpangkat tinggi telan yang besar". "Pangkat dan jawatan" bukan "boleh datang dan pergi" sebagaimana yang dikatakan, sebaliknya mengatasi segala-galanya!

Apa yang menarik, seandainya kenyataan "tidak masuk kabinet" ini bukan untuk mengukuhkan sokongan dalaman parti, maka ia sudah tidak relevan dengan masyarakat Cina secara umumnya. Apakah masyarakat Cina perlu menyokong MCA untuk mempertahankan pangkat dan jawatan mereka? Semestinya tidak.

Jadi, layanan dingin terhadap kenyataan yang munafik ini adalah tepat. Namun kita jangan memperlekehkannya sehingga terabai. MCA mungkin telah menduga bahawa mustahil mereka menerokai sokongan baru dari komuniti Cina, dan mereka kini berundur untuk mempertahankan sokongan dalam parti. Dan ia mungkin juga dicaturkan sedemikian selepas BN keluar dengan formulanya untuk memenangi PRU.

Mungkin, selagi MCA mampu memastikan undi diperolehi dari ahlinya, maka BN akan menjamin kemenangannya di sesetengah kawasan dengan cara-cara tertentu (malah mungkin dengan cara yang dikutuk BERSIH).

Apa yang pasti, pemimpin tempatan MCA yang dihantui dengan ketakutan kehilangan pangkat akan bangkit mempertahankan MCA. Faktor pengubah agak banyak dalam PRU yang akan datang. Hanyut atau tenggelamnya demokrasi negara mungkin ditentukan dengan undi majoriti yang tipis.

Ahli akar umbi yang murni hatinya mungkin memainkan peranan yang penting untuk menggerakkan sejarah. Adakah kita telah mula mengenalpasti, malah mendampingi orang-orang sebegini?

*Lim Yew Chien pernah menjadi pengacara rancangan forum isu semasa, juga kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 13 Jun 2011.

Tiada ulasan: