Khamis, 23 Jun 2011

Utusan Enggan Mohon Maaf, DPPP Anjur Demo Esok

Ditulis oleh Salmiah Drahsin


KUALA LUMPUR : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan menganjurkan demo besar-besaran esok sebagai membantah sikap Utusan Malaysia yang enggan membuat permohonan maaf ekoran tindakan akhbar itu menyiarkan karikatur menghina Islam.

Menurut ketuanya, Nasrudin Hasan, pihaknya kesal dengan akhbar milikan Umno itu yang seolah-olah mengambil pendirian "tidak bersalah" dalam perkara tersebut.

Beliau yang dipetik dari portal The Malaysian Insider berkata, tempoh tujuh hari yang diberikan sebelum ini telah tamat kelmarin dan tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak Utusan.

Lantaran itu katanya, demonstrasi besar-besaran di seluruh negara akan diadakan esok.

 “Sehingga hari ini kita masih belum menerima apa-apa pemohonan maaf daripada Utusan Malaysia dan kita kesal dan kecewa dengan keangkuhan yang ditunjukkan Utusan Malaysia seolah-olah mereka berbangga dengan apa yang mereka lakukan.

“Melihat tindakan Utusan Malaysia ini saya percaya rakyat boleh menilai bagaimana media ini berperanan dengan mewujudkan banyak kekeliruan sama ada dalam hal agama atau perkauman.

“Oleh itu, kami akan mengadakan demonstrasi di setiap negeri bagi menunjukkan sikap dan pendirian kami dalam hal ini yang mana Utusan Malaysia ini angkuh, degil dan keras kepala,” ujar Nasrudin.

Tambah beliau, pihaknya akan mengarahkan Pemuda PAS setiap negeri untuk mengadakan demonstrasi esok.

“Kita akan adakan demonstrasi ini selepas solat Jumaat dan saya akan arahkan Dewan Pemuda PAS negeri untuk turun bagi mengatakan pendirian kita.

 “Kita tidak akan jumpa lagi Utusan Malaysia, kita telah jalankan tanggungjawab kita... lagipun buang masa sahaja kalau jumpa Utusan Malaysia, mereka tetap begitu,” katanya lagi.

Minggu lalu Dewan Pemuda PAS pusat memberi tempoh tujuh hari kepada Utusan Malaysia agar memohon maaf bermula dari tarikh karikatur itu disiarkan iaitu pada 15 Jun lalu.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS pusat juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur itu yang hanya dikenali sebagai “Miki.”

Utusan Malaysia telah menyiarkan karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dan ia menurut Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan menghina Islam.

Selain itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa agar Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka.

Tiada ulasan: