Isnin, 20 Jun 2011

SPR Kena Ingat Peranan Mereka-Azmin

TVS NEWS




SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali sekali lagi menegur sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat cuba untuk ‘memperdagangkan’ maklumat daftar pemilih terhadap parti-parti politik di samping memalsukan maklumat daftar pemilih.

Katanya, daftar pemilih merupakan perkara asas yang perlu dijaga oleh SPR bagi memastikan pilihan raya berlangsung dengan adil dan bersih.

“Saya menegur SPR kerana peranan mereka untuk menjalankan pilihan raya berjalan dengan adil. Dalam konteks pilihan raya yang bersih dan adil prinsipnya adalah daftar pemilih itu adalah asas. Ini yang menentukan pilihan raya itu berjalan dengan bersih dan adil selain media yang bebas dan sebagainya.

“Kalau perkara asas ini pun ingin dijadikan barang 'dagangan' oleh SPR sedangkan mereka yang perlu memberikan maklumat yang tepat kepada parti-parti politik. Mengapa tidak dilakukan? Dan sekarang pula 'dijual' RM 48,000,” katanya.

Sebelum ini Azmin mendedahkan PKR perlu membayar RM48,000 untuk mendapatkan senarai daftar pemilih untuk pilihan raya Umum ke-13 dalam satu pertemuan dengan Setiausaha SPR, Datuk Kamarudin Bari tiga minggu lalu di Putrajaya.

Menurut beliau lagi, SPR sewajarnya mencontohi sistem yang diamalkan di Turki apabila suruhanjaya pilihan raya di negara itu mengamalkan prinsip ketelusan malah menghantar sendiri maklumat lokasi pembuangan undi kepada para pengundi.

“Saudara tengok di Turki, suruhanjaya pilihan raya menghantar sendiri kepada pengundi di mana mereka akan mengundi kepada setiap rumah supaya rakyat tahu di mana dia mengundi dan pusat pembuangan undi. Mengapa mereka boleh buat tetapi kita tidak?,” soal beliau.

Tambahnya, Perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan Julai depan merupakan perkara penting yang perlu dilaksanakan sebagai tuntutan supaya sistem pilihan raya di negara ini dapat dipulihkan.

Tiada ulasan: