Sabtu, 18 Jun 2011

Setiausaha Kerja Pusat PKR Meninggal Dunia

TVS NEWS




KUALA LUMPUR : Kakitangan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraidah Abu Hassan yang bertugas sebagai Setiausaha Kerja Pusat, meninggal dunia selepas mengalami serangan angin ahmar.

Zuraidah, atau lebih dikenali sebagai Kak Zu, menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun, petang tadi.

Zuraida ditemui rakan serumahnya, selepas dipercayai jatuh antara pukul 6.30 petang hingga pukul 9.30 malam semalam.

Menurut Pengarah Operasi Pejabat Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahidah berkata, Allahyarhamah kemudiannya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan mengalami koma.

Turut menziarahi allahyarhamah semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Jenazah allahyarhamah, dijangka akan dikebumikan di tanah kelahirannya di Melaka.

Sementara itu, ucapan takziah dinyatakan bertalu-talu oleh pimpinan PKR melalui laman Twitter dan Facebook.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan takziah di atas pemergian allahyarhamah di laman twitter beliau.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pula menyifatkan allahyarhamah sebagai kakitangan yang sangat berdedikasi.

“PKR kehilangan staf paling dedikasi Zuraidah Abu Hassan, moga Allah swt cucuri rahmat …AlFatihah,” ujarnya.

Setiausaha Pengelola PKR, Radin Shamsul Kamal ketika dihubungi Keadilan Daily berkata, allahyarhamah bertugas dengan PKR sejak 2005, sebagai Setiausaha Kerja Negeri Melaka, sebelum berpindah ke Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya.

Beliau menyifatkan Zuraidah sebagai seorang kakitangan yang rajin, peramah serta disenangi semua pihak.

Tiada ulasan: