Jumaat, 3 Jun 2011

Polis syor inkues siasat kematian Sarbaini, Peguam Negara setuju

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Polis akan mengesyorkan agar satu inkues diadakan bagi menyiasat punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamad, kata ketua Jabatan Siasatan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Laporan The Star Online memetik Asisten Komisioner Datuk Ku Chin Wah berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga telah bersetuju dengan cadangan itu.

Baru-baru ini, keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini (gambar) mahu polis mendedahkan perkembangan terbaru hasil siasatan kematiannya dua bulan lalu di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ini kerana, menurut sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini, sehingga kini masih tiada perkembangan, menyebabkan keluarga itu tertanya-tanya status sebenar hasil siasatan tersebut.

Tambah sumber itu, perkembangan terakhir yang diketahui pada 4 Mei lalu di mana kertas siasatan kematian Ahmad Sarbaini akan dihantar semula ke Jabatan Peguam Negara.

“Kami nak tahu apa status terkini sekarang, kami tertanya-tanya apa yang berlaku dan perkembangan kes ini.

“Saya sendiri tertanya-tanya apa status kes ini sekarang, sebab saya lihat macam tidak ada apa-apa yang berlaku... senyap begitu sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Semalam, pemimpin-pemimpin PKR menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara menggesa diadakan siasatan lanjut ekoran dakwaan wujud bukti baru, yang dikemukakan oleh balu Allahyarham Ahmad Sarbaini bulan lalu.

Tiada ulasan: