RAUB – Modul Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) untuk pelajar sekolah akan mula diperkenalkan kepada murid tahun satu bermula November ini.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk, Pembangunan dan Keluarga Negara (LPPKN),
Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas modul tersebut dapat diterima dengan baik oleh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kini didedahkan dengan PKRS.
Menurutnya, pelajar sekolah rendah dan menengah akan mengikuti modul yang berbeza berdasarkan tahap usia mereka.
"Berdasarkan tinjauan dan maklumat balas yang diterima daripada pelatih PLKN seluruh negara ternyata mereka sangat gembira dengan kandungan modul itu yang mula dipelajari sejak dua hari lalu.
"Menurut mereka, modul yang dipelajari itu sangat berguna dan tidak pernah dibincangkan dengan keluarga sebelum ini,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke PLKN Benum Hill Resort dekat sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Menurut Aminah, modul tersebut akan mula diajar kepada murid tahun satu selepas selesai peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Katanya, pendidikan itu bukan perkara baru kerana ia mengambil modul sedia ada yang diperbaharui dan digubal semula.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, para pelatih PLKN memberikan reaksi positif terhadap kandungan modul tersebut kerana mereka mendapat maklumat dengan kaedah yang betul.
"Modul tersebut lebih kepada membentuk golongan remaja yang sihat, berdaya tahan, berakhlak, bertanggungjawab serta berupaya menghadapi cabaran perubahan dalam kehidupan masa kini,'' katanya - Utusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan