Sabtu, 18 Jun 2011

Pakatan jujur angkat martabat wanita

Roketkini.com


Diam-diam ubi berisi. Di sebalik kecaman dan kutukan UMNO-Barisan Nasional, Pakatan Rakyat telah banyak berjasa kepada rakyat, terutamanya dalam usaha mengangkat martabat wanita.

Selama 50 tahun di bawah pimpinan UMNO-BN di peringkat negeri, tidak pernah langsung wanita diiktiraf untuk memegang jawatan penting seperti Yang Dipertua majlis daerah, majlis perbandaran atau dewan bandaraya.

Semalam, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengumumkan pelantikan Noraini Roslan, wanita pertama dalam negeri tersebut, sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor.

Pelantikan Noraini sebagai YDP yang berkuatkuasa 1 Julai depan adalah yang ketiga dalam sejarah Malaysia selepas kerajaan Pakatan Pulau Pinang berbuat demikian.

Pada 2010, kerajaan Pakatan Pulau Pinang telah melantik dua wanita sekali gus sebagai YDP, iaitu Patahiyah Ismail untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Maimunah Mohd Sharif untuk Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Langkah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Noraini dilihat sebagai mengangkatkan lagi martabat kaum wanita selaras dengan janji dalam Buku Jingga iaitu untuk memastikan wanita mendapat layanan yang adil dalam segala bidang.

“Dasar kami (kerajaan Pakatan) adalah wanita harus diberi peluang yang setaraf dengan lelaki berdasarkan kebolehan dan kelayakan mereka,” kata Khalid.

Kenyataan beliau dilihat sebagai satu lagi langkah bijak Pakatan Rakyat meninggikan lagi taraf wanita yang selama ini jarang wujud malah dipinggirkan oleh UMNO-BN sejak sekian lama.

Jelas kononnya ‘perjuangan’ Wanita UMNO dan BN untuk menjaga kepentingan wanita hanyalah sekadar retorik semata-mata, sedangkan mereka pernah mentadbir dua buah negeri tersebut sejak lebih 50 dahulu.

Bagaimana pun ketika laungan dan retorik Wanita UMNO-BN sudah terkulai, Pakatan Rakyat dilihat jauh ke depan memperjuangkan hak wanita selaras piagam Buku Jingga yang antaranya ialah:

• Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.
• Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.
• Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.
• Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat jagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta.
• Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.
• Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.
• Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.
• Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Bagaimana pun, persoalan yang harus diutarakan oleh kaum wanita sekarang ialah, di manakah Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersembunyi?

Semoga terbuka hati Shahrizat untuk mendesak kerajaan BN supaya melantik Datuk Bandar dari kalangan wanita di samping memegang jawatan YDP di majlis perbandaran serta daerah.

Setakat memberi sumbangan susu tepung kepada ibu-ibu tunggal yang mempunyai anak-anak kecil, walau pun baik usaha itu, ia masih tidak mampu mengangkat martabat wanita Malaysia.

Jangan hanya pandai mengutuk Pakatan. Atau diam tak bantu rakyat. Diam-diam besi berkarat.

Tiada ulasan: